KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan peringkat waspada dan buruk melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur berkuat kuasa hingga 22 Disember 2022.

Amaran hujan berterusan peringkat waspada turut diramalkan berlaku bagi negeri Sarawak melibatkan di Miri dan Limbang.

Manakala di Sabah pula, MetMalaysia mengeluarkan amaran peringkat waspada melibatkan perairan negeri itu termasuk bahagian utara di Sandakan.

Amaran hujan di negeri Sabah dan Sarawak berkuat kuasa bermula 23-26 Disember ini.

Dalam pada itu, keadaan cuaca diramalkan hujan di hampir keseluruhan negeri di Semenanjung Malaysia termasuk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, petang ini.

Sementara itu, hujan berterusan dijangka berlaku di Pahang dan sekitar Johor Timur pada petang ini.

Ramalan hujan turut dicerap melibatkan kawasan di Selat Melaka termasuk kawasan perairan negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.