SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Ambang persetujuan RUU Pembaharuan Semula Bandar ikut amalan terbaik antarabangsa

Bernama 22/08/2025 | 03:15 MYT
Setakat ini, KPKT telah mengadakan 104 sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk jawatankuasa pilihan khas Parlimen, agensi kerajaan, badan pemikir dan pakar dari universiti bagi membincangkan RUU PSB. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ambang persetujuan 80 peratus bagi Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dicadangkan adalah antara yang tertinggi di dunia dan mematuhi piawaian amalan terbaik antarabangsa, serta merupakan syarat bagi memulakan proses rundingan dalam kalangan pemilik.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan RUU PSB turut menetapkan prinsip no less favourable atau manfaat yang tidak kurang, iaitu setiap pemilik akan menerima gantian satu unit rumah baharu yang lebih luas, bernilai lebih tinggi serta dilengkapi dengan kemudahan moden tanpa sebarang kos tambahan.

"RUU PSB digubal bagi memenuhi keperluan mendesak untuk memperbaharu kawasan perumahan lama yang daif dan usang, demi mewujudkan bandar yang lebih selamat, selesa, inklusif dan berdaya huni untuk rakyat Malaysia," menurut KPKT dalam kenyataan hari ini.

RUU PSB juga tidak mengubah status tanah sedia ada, jika melibatkan Tanah Rizab Melayu, status tanah berkenaan akan kekal, begitu juga dengan tanah pajakan atau pegangan selama-lamanya seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setakat ini, KPKT telah mengadakan 104 sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk jawatankuasa pilihan khas Parlimen, agensi kerajaan, badan pemikir dan pakar dari universiti.

Selain itu, KPKT turut menganjurkan Ekspedisi RUU PSB bagi membawa Ahli Parlimen meninjau kawasan perumahan usang untuk melihat sendiri keperluan mendesak akta berkenaan.

"KPKT akan mengadakan satu lagi sesi taklimat khas bersama dengan semua Ahli Parlimen pada Isnin hadapan untuk menjelaskan sebarang salah faham dan semua Ahli Parlimen telah diundang hadir bersama," katanya.

KPKT menegaskan komitmen untuk melaksanakan Akta PSB secara adil, telus dan inklusif dengan menyeimbangkan hak pemilik hartanah serta kepentingan rakyat dan masa depan negara.

Menurut kenyataan itu, KPKT kekal terbuka untuk menerima pandangan semua pihak agar pelaksanaan akta ini benar-benar membawa manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

-- BERNAMA



#RUU Pembaharuan Semula Bandar #KPKT #ambang persetujuan 80 peratus #perumahan lama