MALAYSIA

Ambil iktibar demonstrasi di Indonesia - Fadillah

Bernama 06/09/2025 | 08:30 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berswafoto bersama para peserta pada Program Kembara Segulai Sejalai Belia Sarawak 2025, hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Semua pihak digesa mengambil iktibar daripada demonstrasi yang berlaku di Indonesia baru-baru ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Ringkasan AI
  • Fadillah Yusof gesa rakyat ambil iktibar daripada demonstrasi di Indonesia yang bermula aman tetapi bertukar tidak terkawal.
  • Kestabilan dan keamanan penting untuk ekonomi negara, menarik pelabur dan membuka peluang pekerjaan.
  • ASEAN berharap situasi di Indonesia pulih segera, dengan Prabowo memaklumkan keadaan semakin baik.


Beliau berkata insiden itu menunjukkan betapa pentingnya kestabilan dalam memastikan keharmonian negara sentiasa terpelihara.

"Lihat apa yang berlaku di negara jiran kita, pelbagai cerita telah dimainkan (pihak tertentu) sehingga menimbulkan kemarahan rakyat. Bila rakyat marah mereka protes dan demonstrasi. Protes yang aman menjadi tidak aman.

"Kestabilan dan keamanan penting untuk mengurus negara dengan baik. Bila ekonomi kita baik pelabur akan datang dan buka peluang pekerjaan. Rakyat perlu bersatu hati," katanya semasa berucap di program Kembara Segulai Sejalai Belia Sarawak 2025 di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Malaysia dan negara anggota ASEAN berharap agar demonstrasi di Indonesia akan tamat segera.

Anwar berkata ketika pertemuan di Beijing, China baru-baru ini, Presiden Indonesia Prabowo Subianto memaklumkan kepada beliau bahawa situasi di republik itu kini bertambah baik.

Pada 29 Ogos lepas, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memaklumkan sedang memantau rapi perkembangan terkini susulan demonstrasi di Senayan, Jakarta Pusat.

-- BERNAMA




#Fadillah Yusof #rusuhan Indonesia #keharmonian negara #ASEAN