Ambil Iktibar PRN Sabah, berkempen atas talian jalan terbaik - Bekas Pengerusi SPR

Fareez Azman
November 1, 2020 11:16 MYT
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pelanggaran SOP dalam PRN Sabah perlu diambil iktibar. Kempen dalam talian perlu diamalkan bagi mencegah penularan COVID-19. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengalaman dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang lalu perlu diambil iktibar oleh semua pihak terutamanya ahli politik di negara ini.
Menurut Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang kerap perlu dihindari pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
"PRN Sabah itu pertama kali, PRN diadakan semasa COVID-19, jadi rakyat Malaysia tidak begitu faham apa akibat akan berlaku. Jadi ramai penyokong calon dan parti dari Semenanjung datang turun ke Sabah.
"Kemudian apabila lama di Sabah, (mereka) bercampur gaul, balik ke negeri masing-masing. Itu sebabnya COVID-19 merebak begitu cepat sedangkan SOP sudah berkali diberitahu. Cuma hendak pastikan mereka (calon dan pemimpin poliitik) berdisplin dan patuh atau tidak amat sukar," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
BACA: SPR akan keluarkan SOP baharu pilihan raya dalam masa terdekat - Pengerusi
Selain pembaharuan SOP oleh pihak SPR, katanya pendekatan berkempen melalui platform digital adalah jalan terbaik untuk mengurangkan penularan COVID-19.
"Itu sahaja, maknanya tidak berlaku calon dan pengundi bertemu secara bersemuka. Bila bersemuka nak penjarakan fizikal itu susah, maknanya kempen dibuat secara atas talian.
"Boleh berkempen melalui video conference, Astro AWANI pun selalu buat. Sama ada tempat itu ada rangkaian internet atau tidak, itu perkara lain. Kemudian calon boleh menggunakan media cetak, sebarkan poster dan berita mereka, jadi kempen ini tidak melibatkan manusia," jelasnya.
Tambah Abdul Aziz, beliau percaya SPR sedang merancang penambahbaikan, namun pada masa sama SOP perlu sentiasa dipatuhi oleh semua pihak sepanjang kempen berlangsung.
"Jika semua patuh, dapat kita jangkakan COVID-19 ini tidak merebak dengan hebatnya," kata Abdul Aziz lagi.
#tan sri abdul aziz mohd yusof #Suruhanjaya Pilihan Raya #Malaysia #pilihan raya #pilihan raya kecil #SOP #COVID-19 #Pelanggaran SOP #Displin #kempen atas talian