Ambil pengajaran daripada kes pedofil Richard Huckle - Najib

Bernama
Jun 7, 2016 23:19 MYT
Perdana menteri berkata beliau berasa amat marah dan sedih apabila mengetahui mengenai kes penderaan seksual oleh Huckle (gambar). - Gambar fail
Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat mengambil pengajaran daripada kes pedofil warga Britain, Richard Huckle bagi mencegah kanak-kanak Malaysia daripada menjadi mangsa serangan seksual.
Perdana Menteri berkata semua pihak perlu memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada situasi atau keadaan di mana orang yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas mereka.
"Mereka yang bertanggungjawab ke atas penjagaan kanak-kanak mestilah lebih prihatin dan peka bagi mencegah perbuatan terkutuk ini dari berlaku," kata Najib di laman Facebook.
BACA: Richard Huckle berpeluang bebas selepas 23 tahun, netizen tuntut hukuman setimpal
BACA: Pedofil Richard Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup
BACA: Pedofil warga Britain mengaku cabul puluhan kanak-kanak miskin Malaysia
Perdana menteri berkata beliau berasa amat marah dan sedih apabila mengetahui mengenai kes penderaan seksual ke atas kanak-kanak Malaysia oleh Huckle.
Huckle, 30, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah Britain selepas mengaku salah atas 71 pertuduhan penderaan seksual ke atas kanak-kanak di Malaysia.
Dia dikehendaki menjalani hukuman minimum penjara 25 tahun.
Dia dilapor melakukan pelbagai kesalahan bersifat seksual ke atas 200 kanak-kanak Malaysia berusia antara enam bulan dan 12 tahun, dari 2006 hingga 2014.
#cabul #Najib Razak #paedophile #pedofil #richard huckle #serangan seks