KUALA LUMPUR :Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kejadian rogol yang berlaku melibatkan remaja perempuan berusia 16 tahun di lokap Balai Polis Pusat Miri.

Menurut beliau, insiden berkenaan seharusnya diberi perhatian dengan mengambil langkah sewajarnya supaya kejadian yang sama tidak berulang lagi.

Ujarnya, walaupun pendakwaan telah dibuat terhadap suspek dan anggota polis yang bertugas ketika insiden berlaku, ini tidak bermakna ia harus didiamkan sahaja.

"Ia bagi mengelakkan kejadian sama berulang, memandangkan ia bukanlah kejadian tidak diingini pertama berlaku di lokap," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, susulan kejadian yang berlaku, pihak bertanggungjawab perlu memantau sama ada balai polis berkenaan sudah dilengkapi kamera CCTV atau sebaliknya.

Ini bagi memastikan perkara yang sama dapat ditangani dengan efektif.

Namun, selain di balai polis Miri, ia juga wajar diguna pakai di lokap di seluruh negara, kata Zuraida.

"Perkara ini bagi memastikan ketelusan dan integriti anggota polis terus disanjung masyarakat.

"Kejadian rogol ini bagi saya adalah luar biasa, kerana ia berlaku di balai polis, sebuah premis yang dibangunkan untuk menjunjung dan menegakkan undang-undang negara, sepertimana sumpah keramat dan janji setia pasukan polis," tegasnya.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa agar pihak kerajaan menggunakan peruntukan sedia ada untuk menambah baik serta meningkatkan lagi hukuman bagi kesalahan seperti itu, supaya ia tidak mencemarkan institusi polis di masa akan datang.

Terdahulu, pada 9 Januari, seorang remaja perempuan dilaporkan dirogol ketika berada dalam tahanan oleh seorang tahanan lelaki lain, meskipun mereka diasingkan berdasarkan jantina. 

Mangsa mendakwa suspek memiliki kunci sel lokapnya.

Bagaimanapun, polis mendakwa bahawa CCTV yang terdapat di lokap berkenaan hanya untuk pemantauan dan tidak boleh membuat rakaman.

Akibat insiden yang berlaku itu, dua anggota polis turut digantung tugas dan dihadapkan dengan pertuduhan pengabaian, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Mereka juga dihadapkan dengan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 166 Kanun Keseksaan, berhubung penjawat awam yang mengingkari undang-undang dengan niat menyebabkan bencana kepada individu lain.