MALAYSIA

Ambil tanah kubur: JHEAT beri amaran, boleh didenda RM5,000 atau penjara

Sinar Harian 30/06/2025 | 01:40 MYT
Kubur Nurly Sahirah dipasang tali penghadang elak perbuatan khurafat. - Foto fail/Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Tindakan segelintir individu yang didakwa melakukan perbuatan khurafat di kawasan perkuburan Allahyarham Nurly Sahirah Azman mendapat perhatian pihak berkuasa.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abd Aziz berkata, sebarang perbuatan khurafat di kawasan kubur boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara selama tiga tahun jika disabitkan kesalahan.
Menurutnya, perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak itu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 3A, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
“Mana-mana individu yang melakukan perbomohan, sihir atau apa-apa perbuatan yang bercanggah boleh dikenakan tindakan.
“Hukuman yang boleh dikenakan adalah denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Isnin.
Aizi Saidi berkata demikian bagi mengulas dakwaan terdapat individu yang mengambil tanah kubur mangsa nahas bas yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Nurly Sahirah Azman, untuk tujuan khurafat.
Jelas beliau, Unit Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Besut akan menjalankan pemantauan secara berkala bagi memastikan tiada amalan syirik atau khurafat berlaku di kawasan perkuburan tersebut.
Pada Jumaat, tular satu hantaran di laman sosial oleh pemilik akaun Facebook, Ahmad Nazrul, yang mendakwa terdapat pengunjung bertindak mengambil tanah kubur dan memasukkannya ke dalam poket serta plastik untuk dibawa pulang.
Susulan itu, keluarga mangsa mengambil inisiatif memasang tali pengadang di sekeliling kubur sebagai langkah mengelakkan perbuatan khurafat berulang.
Selain itu, wakil keluarga turut menetapkan kunjungan ke kawasan kubur hanya dibenarkan dari jam 9 pagi hingga 6 petang, manakala tiada sebarang lawatan dibenarkan pada 2 hingga 5 Julai atas sebab tertentu.
Untuk rekod, pada tahun 2022, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu telah meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022 bagi memperkasakan pelaksanaan undang-undang syariah di negeri itu.
Pindaan tersebut bertujuan menambah baik Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang melibatkan tambahan empat seksyen baharu dan pindaan terhadap 21 seksyen sedia ada.
Antara seksyen baharu itu termasuk Seksyen 3A (perbomohan dan sihir), Seksyen 29A (hamil atau melahirkan anak luar nikah), Seksyen 33A (perempuan berlagak lelaki) dan Seksyen 36A (persediaan melakukan liwat).
Bagi Seksyen 3A, JHEAT telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelaras dan memantau kesalahan di bawah seksyen tersebut. - Sinar Harian
#perbuatan khurafat #kawasan perkuburan #Nurly Sahirah Azman #JHEAT