MALAYSIA
'Ambil tanah kubur Nurly, mohon ampun kepada Allah SWT'

Orang ramai terus menziarahi pusara Allahyarham Nurly Sahirah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang.
BESUT: Keluarga kepada Allahyarham Nurly Sahirah Azman berharap agar individu yang mengambil tanah pusara anak mereka tampil memohon maaf serta memohon keampunan kepada Allah SWT.
Ringkasan AI
- Keluarga Allahyarham Nurly Sahirah Azman kesal dengan tindakan individu yang dipercayai mengambil tanah pusara anak mereka untuk tujuan bertentangan dengan ajaran Islam, dan berharap agar individu tersebut tampil memohon maaf serta keampunan kepada Allah SWT.
- Tindakan mengambil tanah kubur dianggap sebagai perbuatan khurafat dan syirik, mendorong keluarga memasang penghadang di pusara bagi mengelakkan kejadian serupa berulang, dengan pemantauan turut dilakukan oleh pihak berkuasa agama.
- Keluarga tidak menghalang kunjungan ke pusara, namun menegaskan agar pengunjung menjaga adab dan tidak melakukan perbuatan yang bercanggah dengan syariat, sambil memohon maaf jika ada kekurangan dalam layanan kepada tetamu yang hadir.
“Kepada orang yang ambil tanah kubur itu, saya harap tampil ke depan, mohon maaflah kepada kami. Kalau tidak kepada kami sekalipun, mohon ampunlah kepada Allah SWT,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pusara pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas jalan raya di Gerik, Perak, telah dipasang penghadang oleh keluarganya bagi mengelakkan sebarang perbuatan khurafat.
Dua abang serta seorang waris Allahyarham bergotong-royong memasang tali penghadang tersebut kira-kira jam 6.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang pada Sabtu.
Azman yang meluahkan rasa kesal terhadap tindakan individu tertentu yang dipercayai mengambil tanah kubur anaknya untuk tujuan tidak sewajarnya, menasihatkan pengunjung agar menjaga adab serta tatasusila ketika menziarahi pusara.
“Saya tidak halang orang ke kubur. Cuma bila ambil tanah kubur itu walau sekepal atau segenggam untuk buat azimat atau benda yang bertentangan dengan ajaran Islam, saya rasa perbuatan itu salah,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa agama telah datang ke kawasan tanah perkuburan tersebut pada waktu malam untuk melakukan pemantauan dan berharap agar tiada keperluan untuk tindakan lebih ketat seperti menutup atau mengunci kawasan berkenaan.
Menurutnya, mereka sekeluarga tidak menghalang mana-mana pihak yang ingin menziarahi pusara anaknya, namun menegaskan bahawa sebarang niat jahat atau perbuatan bertentangan dengan syariat Islam perlu dihentikan.
“Dalam keadaan begini, ada pula orang ambil kesempatan. Saya amat kesal, kerana masih ada manusia yang tidak faham agama. Sedangkan tanah itu tidak membawa sebarang manfaat.
“Individu yang ambil itu jelas tidak faham agama. Ambil tanah kubur bawa balik, tidak ada faedah, tidak beri apa-apa manfaat, satu sen pun tidak,” tegasnya.
Beliau turut memohon maaf bagi pihak keluarga Allahyarham sekiranya tidak dapat memberikan layanan sempurna kepada tetamu yang hadir menziarahi mereka. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami