Ambil tindakan segera atasi gangguan seksual di sekolah, IPT - Maszlee

Hasimi Muhamad
September 20, 2021 07:45 MYT
Maszlee berkata, kes gangguan seksual dalam kalangan murid dan pelajar tidak boleh dipandang ringan - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengambil tindakan segera dan campur tangan bagi mengatasi masalah gangguan seksual di sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Ahli Parlimen Simpang Renggam (Bebas), Maszlee Malik berkata, ini kerana kes gangguan seksual dalam kalangan murid dan pelajar tidak boleh dipandang ringan.
Justeru, bekas Menteri Pendidikan itu turut menyokong agar Rang Undang-Undang Akta Gangguan Seksual dibentangkan dan diluluskan segera.
"Saya dimaklumkan semenjak 2011, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) - Pelaporan dan tindakan menangani displin murid beserta garis panduan menangani gangguan seksual murid.
"Namun, kedua-dua SOP ini tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa sebab itu pada 13 Disember 2019, KPM, telah melakukan satu inisiatif dan meluluskan satu memo untuk kita membuat garis panduan yang baharu selari dengan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.
"Saya juga menyokong RUU Akta Gangguan Seksual segera dibentangkan dan diluluskan. Bersama kita jadikan sekolah sebagai tempat yang selamat untuk semua," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Gangguan Seksual | Kerajaan digesa campur tangan
#Dewan Rakyat #gangguan seksual #Mazlee Malik #pelajar sekolah #Pendidikan Malaysia