MALAYSIA

Ambil tindakan segera masalah sampah dan longkang tersumbat di Jalan Gallagher - Agong

Ernalisa Othman 12/07/2025 | 06:45 MYT
Sultan Ibrahim bertitah agar pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera bagi memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih dan selamat. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memberi tumpuan terhadap faktor kebersihan di kawasan masing-masing.


Ringkasan AI
  • Sultan Ibrahim tinjau tahap kebersihan ibu negara: Baginda berjalan kaki sejauh 3.2km di Jalan Gallagher dan menegur sendiri isu longkang tersumbat, sampah sarap serta dahan pokok membahayakan keselamatan.
  • Gesaan agar PBT ambil tindakan segera: Baginda mahu pihak berkuasa tempatan memastikan persekitaran bersih dan selamat, serta mengelakkan pembiakan Aedes yang boleh jejaskan kesihatan awam.
  • Penegasan kepentingan kebersihan dan keselamatan: Baginda menyeru perhatian serius terhadap kebersihan serta pemeliharaan persekitaran demi kesejahteraan rakyat dan penunggang jalan raya.


Baginda yang berkenan mencemar duli menyertai aktiviti berjalan kaki sejauh 3.2 kilometer sambil meninjau tahap kebersihan di sekitar Jalan Gallagher, di ibu negara turut membuat tinjauan mengejut pada awal pagi Sabtu.

Baginda turut menegur sendiri keadaan longkang yang tersumbat serta pembuangan sampah sarap di tepi jalan.

Selain itu Baginda juga menegur, dahan-dahan pokok besar di atas jalan raya yang dilihat membahayakan keselamatan ramai.

“Pembuangan sampah sarap di tepi jalan bukan sahaja menjadi pembiakan Aedes, namun boleh menjejaskan kesihatan para penghuni di kawasan sekitarnya.

“Begitu juga saya melihat terdapat dahan-dahan pokok besar di atas jalan raya yang boleh mengundang bahaya kepada orang ramai khususnya penunggang motosikal di waktu malam,” titah Baginda menerusi perkongsian di laman Facebook baginda hari ini.



Dalam pada itu Sultan Ibrahim turut bertitah, agar pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera bagi memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih dan selamat.

Turut mengiringi Seri Paduka Baginda dalam aktiviti tersebut ialah Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Paduka Tan Sri Azmi Rohani, Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini serta beberapa kakitangan istana negara.





#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #Jalan Gallagher #tahap kebersihan #dahan pokok besar