Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang pada Rabu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau berasa amat kecewa kerana terpaksa melayan cadangan pindaan yang dikemukakan pada saat-saat akhir sedangkan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad telah sedia untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ambrin, 70, berkata laporan akhir pengauditan 1MDB yang sepatutnya dibentangkan pada 24 Feb 2016, terpaksa dibentangkan pada Mac 2016 selepas beberapa pindaan dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata demikian pada hari kelima perbicaraan kes Najib dan Arul Kanda berhubung pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Terdahulu, Ambrin menjelaskan mengenai pindaan-pindaan yang dibuat dalam laporan pengauditan 1MDB termasuk mengenai dua versi penyata kewangan 1MBD yang berbeza, isu penangguhan terbitan Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN), ACME, dan isu kehadiran Low Taek Jhow atau lebih dikenali Jho Low.

Ketika menjelaskan mengenai isu dua versi penyata kewangan 1MDB, Ambrin berkata satu versi yang dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia menyatakan 1MDB sudah menggunakan dana RM4.03 bilion yang diperoleh daripada pelaburan Seggregated Portfolio Company (SPC) untuk membayar hutang-hutang syarikat itu.

Satu lagi versi penyata kewangan pula adalah yang dihantar kepada Kementerian Kewangan, Deutsche Bank dan AmBank menyatakan dana RM4.03 billion yang diperoleh daripada pelaburan SPC masih lagi ada dalam simpanan 1MDB.

Ketika menjelaskan mengenai isu penangguhan terbitan IMTN yang digugurkan dalam laporan akhir pengauditan 1MDB, Ambrin berkata pasukan khas audit 1MDB mendapati bahawa pada 27 Mei 2009, Najib selaku perdana menteri dan menteri kewangan pada masa itu, telah dititah menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Sultan Mizan sebagai penaung kepada Terengganu Investment Authority (TIA) menitahkan agar terbitan pelaburan IMTN ditangguhkan. Penangguhan itu adalah bagi Jawatankuasa Seliaan Khas membuat penilaian semula.

"Bagaimanapun, pada sebelah petang hari yang sama (27 Mei, 2009) satu mesyuarat Jemaah Menteri diadakan namun Najib tidak menyatakan atau membincangkan mengenai titah Sultan Mizan mengenai penangguhan terbitan pelaburan IMTN untuk kegunaan projek usaha sama PetroSaudi Ltd (PSI) dan 1MDB dalam mesyuarat itu.

"JAN (Jabatan Audit Negara) menganggap penangguhan itu (IMTN) sepatutnya perlu mendapat kelulusan daripada Jemaah Menteri kerana Jemaah Menteri yang meluluskan pelaburan terbitan IMTN tersebut pada awalnya. Sepatutnya Jemaah Menteri perlu dimaklumkan apa-apa perkara mengenai pelaburan IMTN itu," katanya dan menambah bahawa sehubungan itu, JAN memasukkan perkara itu ke dalam laporan akhir audit 1MDB.

Menjelas lanjut, saksi berkata hasil perbincangan pada mesyuarat 24 Feb 2016, wakil Jabatan Peguam Negara Tan Sri Dzulkifli Ahmad memaklumkan bahawa penangguhan IMTN tidak perlu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

"Dzulkfili menyatakan bahawa hanya untuk mendapatkan keputusan dan persetujuan untuk membuat penerbitan IMTN yang perlu mendapat kelulusan dan persetujuan Jemaah Menteri. Berdasarkan persetujuan mesyuarat, saya bersetuju isu tersebut digugurkan daripada laporan," katanya.

Ambrin berkata selain itu, mesyuarat itu turut membincangkan mengenai perjanjian Country Groups Securities Thailand dengan ACME Time Limited yang dimiliki oleh Jho Low, di mana pihak Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati ada penglibatan Jho Low dan mengenai pelaburan terbitan IMTN bagi tujuan projek usaha sama PSI dengan 1MDB, dan tiada siasatan dilakukan mengenai perkara itu oleh BNM.

"Menurut maklumat BNM, AmBank ada menandatangani perjanjian langganan peringkat kedua dengan CGS pada 18 Mei, 2008...bermaksud, AmBank sebagai pembeli utama menandatangani satu perjanjian dengan CGS bermaksud AmBank telah meniagakan kepentingannya dalam IMTN kepada CGS di mana CGS menjadi pembeli sekunder.

"Kemudian juga didapati bahawa CGS telah menandatangani perjanjian Perjanjian Hak Menjual dengan ACME sebagai rakan urus niaga bersama. BNM menyatakan keuntungan oleh AmBank berjumlah US$127.27 juta, di mana bayaran telah dibuat kepada CGS iaitu US$1.30 juta dan ACME US$113.42 juta dan US$12.55 juta. Pihak JAN melaporkan perkara tersebut di dalam draf laporan audit akhir 1MDB," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Arul Kanda memohon supaya isu berkenaan dikeluarkan daripada laporan audit akhir 1MDB kerana beliau berpandangan bahawa perkara itu adalah di luar skop pengauditan isu 1MDB memandangkan perjanjian itu melibatkan pasaran sekunder.

Mengenai pengguguran isu kehadiran Jho Low dalam laporan, saksi berkata bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh meminta menggugurkan perenggan berkaitan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat lembaga pengarah kerana tahap sensitivi dan untuk mengelakkan fakta itu diputarbelitkan oleh pembangkang.

"Pengguguran perenggan berkaitan kehadiran Jho Low, pada pandangan saya bertujuan mengelakkan PAC atau pembaca Laporan Pengauditan 1MDB tahu bahawa Jho Low ada terlibat dalam mesyuarat lembaga pengarah meluluskan pelaburan IMTN dan ia menjejaskan laporan kepada PAC.

"Saya bersetuju untuk isu ini digugurkan daripada laporan berkenaan kerana pasukan audit JAN tidak dapat mengesahkan secara bukti dokumen sama ada Jho Low benar-benar hadir atau tidak kerana terdapat dua minit mesyuarat yang berbeza dari segi kehadiran ahli-ahli mesyuarat," katanya.

Selain itu, mahkamah juga diberitahu bahawa Arul Kanda juga meminta mengehadkan skop laporan SRC International Sdn Bhd, iaitu anak syarikat 1MDB kepada tempoh bermula 7 Jan 2011 (iaitu tarikh SRC ditubuh) sehingga 15 Feb 2012 (iaitu tarikh SRC dipindahkan kepada Kementerian Kewangan) sahaja dan bukanlah sehingga 2014.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Arul Kanda, 43, diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung hari ini.

-- BERNAMA