GADGETS

AMD Ryzen 9000X3D bakal dilancar 7 Nov Ini

Amanz 23/10/2024 | 04:30 MYT
AMD Ryzen 7 9800X3D akan hadir dengan memori cache 105MB, yang penting untuk prestasi gaming yang lebih baik. -Amanz
SEBELUM ini kami telah melaporkan bahawa AMD dilihat akan memperkenalkan siri cip pemprosesan desktop terbaharu mereka, AMD Ryzen 9000X3D ke pasaran tidak lama selepas Intel melancarkan siri cip pemprosesan Intel Arrow Lake-S mereka.


Ringkasan AI
  • AMD akan melancarkan siri cip pemprosesan AMD Ryzen 9000X3D pada 7 November 2024.
  • AMD Ryzen 7 9800X3D akan hadir dengan memori cache 105MB, yang penting untuk prestasi gaming yang lebih baik.
  • AMD telah mengumumkan penurunan harga untuk siri CPU generasi sebelumnya, AMD Ryzen 7000X3D.


Jangkaan orang ramai nampaknya tidak begitu jauh kerana AMD sendiri kini telah mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan siri cip pemprosesan tersebut pada 7 November 2024 ini.

Siri cip pemprosesan AMD Ryzen X3D secara lazimnya hadir dengan memori cache yang lebih tinggi, dan untuk model yang dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi, iaitu AMD Ryzen 7 9800X3D, ia dijangka akan hadir dengan jumlah memori cache setinggi 105MB.

Penambahan V-Cache ini dilihat penting khususnya untuk mereka yang mahu membina komputer untuk tujuan gaming, supaya pengguna boleh mendapatkan kadar bingkai dalam permainan yang lebih tinggi.

Bercakap tentang model-model CPU Ryzen 9000X3D yang akan dilancarkan, butiran khas mengenai penawaran pusingan pertama ini tidak diketahui lagi.

Setakat ini, butiran mengenai AMD Ryzen 7 9800X3D juga nampaknya hanya akan disahkan sewaktu acara pelancaran pada awal bulan depan.

Dalam pada itu, AMD juga telah mengumumkan penurunan harga untuk siri CPU generasi sebelum ini, khususnya AMD Ryzen 7000X3D, yang secara rata-ratanya dinobatkan siri CPU terbaik untuk binaan PC gaming sebelum ini.

Kami sedang menunggu pengesahan dari pihak AMD Malaysia dan telah bertanya sekiranya tanda harga untuk pasaran tempatan juga turut diturunkan. -Amanz









#AMD Ryzen #cip pemprosesan desktop #9000X3D #Intel Arrow Lake-S