MALAYSIA

Amerika akan dijatuhkan sendiri oleh tindakan Trump - Mat Sabu

Seth Akmal 11/01/2026 | 23:00 MYT
Mohamad (kanan) sepentas dengan tokoh politik terkemuka Britain, George Galloway yang lantang mengkritik sikap imperialisme Amerika Syarikat. - Gambar Astro AWANI.
KUALA LUMPUR: Sikap Presiden Donald Trump bertindak sesuka hati terhadap negara lain akan menjatuhkan Amerika Syarikat (AS) tegas Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, pengaruh hegemoni AS telah berada di tahap kemuncak dan bakal mengalami kejatuhan.

“Trump akan menewaskan Amerika sendiri, kerana apabila kuasa besar mencapai kemuncaknya (maka) sejarah telah menunjukkan kejatuhan akan mula menyusul,” katanya ketika menyampaikan ucap tama di forum “A Global Humanity With George Galloway” di sini, pada Ahad.

Beliau turut menyentuh tindakan pentadbiran Trump menyerang Venezuela dan menculik bekas Presiden Nicolas Maduro bersama isterinya, Cilia Flores serta mengatur hasil minyak negara Amerika Latin itu menunjukkan keangkuhan Amerika.

Menurutnya, kenyataan Trump yang mengugut untuk mengambil tindakan terhadap Iran kononnya atas alasan menangani kumpulan perusuh adalah bercanggah, memandangkan pasukan keselamatan Amerika sendiri sebelum ini bertindak keras terhadap rakyat negara itu.

“Beginilah sikap kuasa besar, sentiasa bertindak melampaui batas,” katanya.

Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah itu turut menyamakan tindakan Trump dengan kisah Raja Namrud dan Firaun yang binasa akibat mencabar tuhan.

“Kini Amerika telah sampai ke tahap itu, merasakan dirinya paling berkuasa di dunia,” katanya lagi.

Forum tersebut menyaksikan Mohamad sepentas dengan tokoh politik terkemuka Britain, George Galloway yang lantang mengkritik sikap imperialisme Amerika Syarikat dan penaklukan Israel ke atas wilayah Palestin.

Turut hadirYang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan puluhan rakyat Malaysia yang bersolidariti terhadap isu kemanusiaan di Gaza.
#Amerika Syarikat #Israel #Mohamad Sabu #Donald Trump