KUALA PILAH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, bagi penggal kedua pada Isnin.

Aminuddin, 56, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini kira-kira jam 4.15 petang.

Turut menyaksikan istiadat itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al'Abidin.

Hadir sama, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

hli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.13 Sikamat Datuk Seri Aminuddin Harun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti hari ini. - Foto BERNAMA

Turut hadir, isteri Aminuddin, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, Aminuddin berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat.

Menerusi saingan empat penjuru, Ahli Parlimen Port Dickson itu menang dengan majoriti 2,662 undi.

[TERKINI] Istiadat angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan


Aminuddin memperoleh 12,730 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Raihan Muhamad Hilal yang mendapat 10,068 undi serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu (83 undi) dan Mohammed Hafiz Baharudin (339 undi).

Lahir pada 2 Januari 1967 di Kampung Pachitan, Port Dickson, Aminuddin dan isteri mempunyai lima anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.

Beliau menerima pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah, Port Dickson sebelum melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) dalam bidang perniagaan.

Aminuddin yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat sejak 2008 pernah bertugas sebagai pegawai penyiasat Badan Pencegah Rasuah dari 1991 hingga 1995.

Pada 1995, beliau menyertai syarikat Golden Hope Furniture Sdn Bhd sebagai ketua pengurusan pengeluaran dan kemudian di MCIS Safety Glass (M) Sdn Bhd sebagai Eksekutif Senior dari 1996 sehingga 2008 sebagai ketua bahagian jualan, jawatankuasa pengurusan, panel siasatan dalaman dan auditor ISO/TS 16949:2002.

Sebelum menyertai PKR yang sebelum ini dikenali Keadilan pada 1999, Aminuddin merupakan anggota UMNO dan pernah menjadi Setiausaha UMNO Cawangan Kampung Pachitan (1995-1998) serta Setiausaha Pemuda UMNO DUN Jimah (1997-1998).

Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR sejak 2014 itu turut aktif dalam badan bukan kerajaan antaranya Persatuan Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) dan Angkatan Belia Islam Malaysia.