MALAYSIA

Aminuddin mahu perlawanan NSFC-Terengganu diadakan waktu malam

Bernama 04/11/2025 | 13:45 MYT
Aminuddin menyampaikan hadiah kepada Johan bagi kategori Inovasi Penciptaam Baharu pada Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Sembilan di sebuah hotel hari ini. - Gambar Bernama
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun memohon Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mempertimbangkan semula jadual perlawanan antara pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Terengganu FC pada 22 Nov ini supaya diadakan pada waktu malam berbanding 5 petang seperti yang ditetapkan.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Aminuddin Harun meminta MFL pertimbangkan semula jadual perlawanan NSFC dan Terengganu FC pada 22 Nov, supaya diadakan pada waktu malam bagi memastikan kehadiran penyokong.
  • Pengerusi NSFC menyatakan keputusan mengadakan perlawanan pada waktu petang mungkin menjejaskan kehadiran penyokong yang masih bekerja, dan menegaskan hak Negeri Sembilan menentukan waktu perlawanan.
  • Prestasi positif NSFC musim ini menarik perhatian, dengan ketua jurulatih, Mohd Nidzam Jamil, membawa pasukan ke tangga keenam liga dengan 12 mata.


Pengerusi NSFC itu berkata keputusan mengadakan perlawanan pada waktu petang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu berkemungkinan menjejaskan kehadiran penyokong kerana sebahagian besar daripada mereka masih bekerja pada hari berkenaan.

Beliau menegaskan sebagai tuan rumah, Negeri Sembilan seharusnya diberikan kelonggaran menentukan waktu perlawanan yang sesuai bagi memastikan kehadiran dan sokongan padu penyokong tempatan di laman sendiri.

"Kami sedia maklum Negeri Sembilan ini sebenarnya tidak bersedia untuk mengadakan perlawanan pada waktu siang kerana akan kehilangan banyak penonton. Sebahagian besar penonton bekerja, jadi untuk mereka hadir 5 petang amat sukar.

"Saya berharap perkara ini dikaji semula. Negeri Sembilan sebagai tuan rumah patut dibenarkan bertanding pada waktu yang sesuai, waima 10 malam sekali pun. Ini penting bagi memberi ruang kepada penyokong hadir memberikan semangat kepada pasukan," katanya selepas merasmikan Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Pada permulaan saingan Liga Super musim ini, kehadiran penyokong NSFC di stadium kekal konsisten dengan jumlah mencecah ribuan orang bagi setiap perlawanan.

NSFC kendalian Ketua Jurulatih Mohd Nidzam Jamil kini mempamerkan prestasi positif berbanding beberapa musim lepas apabila berada di tangga keenam liga dengan 12 mata.

-- BERNAMA


#Liga Super #NSFC #prestasi positif #waktu petang