[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Amirudin tegaskan kekal MB Selangor hingga habis penggal

Bernama 24/11/2025 | 09:46 MYT
Amirudin berkata tiada rombakan kabinet akan dilaksanakan dalam tempoh tersebut. - Gambar fail
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sekali lagi menegaskan beliau akan kekal menerajui kepimpinan negeri itu sehingga penggal pentadbiran tamat.

Beliau berkata tiada rombakan kabinet akan dilaksanakan dalam tempoh tersebut.

"Tinggal setahun (untuk habis penggal) dan kalau nak rombak barisan exco, kita perlukan masa lagi. Setakat ini tidak ada lagi idea atau sebarang bayangan untuk itu," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025-2035 di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata nama Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang disebut sebagai calon Menteri Besar hanyalah sebagai cadangan dan masih perlu dibincangkan, selain perlu mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Sekarang ini kita lontarkan sebagai satu pilihan. Jadi kalau pilihan itu diterima, Alhamdullillah. Kalau tidak mungkin kita perlu kenal pasti alternatif lain.

"Selain itu, semua exco kita layak antaranya Najwan (Mohd Najwan Halimi, Fahmi (Dr Mohamad Fahmi Ngah), Borhan (Datuk Borhan Aman Shah) dan Izham (Datuk Izham Hashim) pun layak untuk (menjadi Menteri Besar)," katanya.

Amirudin berkata perancangan bagi perubahan jawatan penting dibuat secara terancang dan bukan secara tergempar.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan Selangor pada masa ini perlu mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menjadi syarat utama sebelum sebarang perbincangan mengenai jawatan untuk mentadbir pada penggal seterusnya dibuat.

Amirudin sebelum ini dilaporkan mengakui telah mencadangkan Nurul Izzah dilantik bagi menggantikannya sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Beliau dalam program audio siar "Keluar Sekejap" yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan baru-baru ini berkata cadangan itu pernah disuarakan kepada Nurul Izzah dan terpulang kepadanya untuk menerima atau sebaliknya.

-- BERNAMA

#Amirudin Shari #Menteri Besar Selangor #kepimpinan negeri #penggal pentadbiran