MALAYSIA

AMK bantah pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia

Nursyazwani Saiful Sham 14/07/2025 | 03:00 MYT
AMK memaklumkan bahawa pihaknya akan menghantar satu memorandum rasmi kepada Kedutaan AS sebagai bantahan terhadap pencalonan Adams. - Foto X/Nick Adams
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) memandang serius pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

Biro Hubungan Antarabangsa AMK, Arief Izuadin dalam satu kenyataan menjelaskan latar belakang Adams yang didakwa condong kepada ideologi politik ekstrem kanan serta retorik yang bersifat memecahbelahkan dilihat bercanggah dengan prinsip kemajmukan, toleransi dan solidariti yang menjadi asas perpaduan rakyat Malaysia.

“Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat mempunyai hak, seperti yang termaktub di bawah Artikel 4 Konvensyen Vienna, untuk menyuarakan kebimbangan atau menolak pencalonan mana-mana diplomat asing yang tidak selari dengan dasar luar negara serta sensitiviti tempatan.

"Penolakan ini bukan satu bentuk permusuhan, sebaliknya langkah mempertahankan hubungan dua hala yang sihat dan saling menghormati antara Malaysia dan AS," ujarnya.

Sehubungan itu, AMK memaklumkan bahawa pihaknya akan menghantar satu memorandum rasmi kepada Kedutaan AS sebagai bantahan terhadap pencalonan Adams.

Ia selain mendesak agar seorang calon yang lebih berwibawa, bersifat moderat dan menghormati nilai keadilan sejagat dilantik demi kepentingan bersama.







#AMK #Nick Adams #Duta Besar #diplomat