MALAYSIA

AMM ke-58: Kebersihan KL tanggungjawab semua, bukan PBT sahaja - Dr Zaliha

Asyraf Malik 07/07/2025 | 06:25 MYT
Dr Zaliha berkata aspek kebersihan dan keindahan bandar merupakan keutamaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelang AMM ke-58. -Gambar IKQWAN LEE/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ibu negara menjadi tumpuan antarabangsa sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai 2025.


Ringkasan AI
  • Kuala Lumpur menjadi tumpuan antarabangsa sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dari 8 hingga 11 Julai 2025, dengan penyertaan lebih 35 negara termasuk kuasa besar dunia.
  • DBKL memberi keutamaan kepada aspek kebersihan dan keindahan bandar melalui kerjasama pelbagai agensi serta penglibatan komuniti dan NGO bagi memastikan imej ibu negara terpelihara sepanjang persidangan.
  • Mesyuarat ini menonjolkan peranan ASEAN sebagai platform diplomasi pelbagai hala dalam menangani isu global seperti keselamatan maritim, perubahan iklim, hak asasi manusia dan krisis kemanusiaan di Myanmar serta Palestin.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata aspek kebersihan dan keindahan bandar merupakan keutamaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kita bekerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi untuk memastikan Kuala Lumpur terus memberikan imej yang baik kepada pengunjung dan delegasi antarabangsa sewaktu persidangan ASEAN ini.

"Kebersihan adalah perkara kita sangat titik beratkan, kita anjurkan program melibatkan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pusat penginapan dan sukarelawan untuk pastikan persekitaran Kuala Lumpur terjaga.

"Kita perlu ingat, kebersihan Kuala Lumpur bukan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) seorang, ia digalas oleh kita semua secara keseluruhannya," ujar Dr Zaliha ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Dapur Digital Tahun 2025 di sini, pada Isnin.

Mesyuarat AMM ke-58 dijangka menghimpunkan lebih daripada 35 Menteri Luar dari seluruh dunia, termasuk wakil dari Amerika Syarikat (AS), China, Rusia, United Kingdom (UK), Kesatuan Eropah (EU), Australia, Jepun, Korea Selatan, serta negara-negara di bawah Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Penyertaan ini bukan sahaja menonjolkan ASEAN sebagai platform utama bagi diplomasi pelbagai hala, malah mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap peranan ASEAN dalam menangani isu-isu global seperti keselamatan maritim, perubahan iklim, hak asasi manusia serta krisis kemanusiaan seperti yang berlaku di Myanmar dan Palestin.


#DBKL #AMM ke-58 #ASEAN25 #dr zaliha