MALAYSIA

AMM ke-58: Timor Leste hadir, kekal jadi pemerhati - KSU

Faida Rahim 06/07/2025 | 05:45 MYT
Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata, ASEAN secara jelasnya bersetuju terhadap penerimaan Timor-Leste sebagai anggota penuh. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Timor-Leste akan kekal hadir sebagai pemerhati di Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata, ASEAN secara jelasnya bersetuju terhadap penerimaan Timor-Leste sebagai anggota penuh, namun ada satu atau dua perkara perlu dipenuhi negara itu khususnya dalam aspek ekonomi sebelum boleh menjadi keluarga blok itu pada sesi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober ini.

"Dalam konteks mesyuarat menteri kali ini, seperti biasa sebelum ini, Timor-Leste akan terus menyertai mesyuarat-mesyuarat ASEAN masing-masing sebagai observer atau pemerhati ASEAN.

"Fokus utama diberikan menteri-menteri luar ASEAN adalah untuk memastikan pelaksanaan keputusan sidang kemuncak ke-46 yang dibuat pada bulan Mei lepas akan dilaksanakan dan supaya semuanya diselesaikan sebelum sidang kemuncak ke-47 pada Oktober nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini, sempena Mesyuarat AMM ke-58 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang akan bermula Selasa ini.

Timor-Leste berusaha menyertai ASEAN sejak 2011. Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 pada 2022, ASEAN bersetuju secara prinsip menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11, tertakluk kepada pemenuhan syarat dalam Peta Jalan Keanggotaan Penuh.

ASEAN secara konsensus akan melaksanakan segala aspek diperlukan untuk memastikan Timor-Leste dapat menjadi anggota blok itu menjelang Oktober ini.

Mei lalu, Pemimpin-pemimpin Asia Tenggara bersetuju menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 blok serantau itu pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini, tertakluk kepada pematuhan beberapa syarat yang masih belum dipenuhi bagi keanggotaan penuh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, para pemimpin telah mencapai kata sepakat untuk menyokong Timor-Leste dalam mengambil semua langkah yang perlu untuk menjadi anggota penuh blok serantau itu.





#ASEAN #Anwar Ibrahim #Timor Leste #AMM ke 58