KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan mencecah 4.2 peratus pada 2023, jangkaan yang sederhana selepas ia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 8.7 peratus tahun lepas, kata Pejabat Penyelidikan Makroekonomi Asean+3 (AMRO).

Unjuran itu akan menunjukkan potensi pertumbuhan negara pada tahap yang lebih mampan, walaupun berkembang pada kadar yang lebih perlahan, kata Ketua Ekonomi AMRO, Hoe Ee Khor dalam taklimat media secara maya pada Selasa.

"Malaysia merupakan pengeksport utama pembuatan dan kini menghadapi ketidaktentuan akibat permintaan yang semakin lemah di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

"Walaupun eksport pembuatan tidak begitu baik, mujurlah perbelanjaan domestik bertahan dengan baik untuk menyokong pertumbuhan.

"Jadi, untuk sepanjang tahun kami mengunjurkan pertumbuhan negara pada 4.2 peratus dan meningkat kepada 5.2 peratus tahun depan," katanya.

Dari segi inflasi, Hoe melihat bahawa Malaysia telah melakukan dengan sangat baik (untuk mengawal) inflasi yang telah turun kepada 2.8 peratus pada Mei daripada 3.3 peratus pada April 2023.

Walaupun inflasi teras masih lebih tinggi, beliau menjangkakan inflasi keseluruhan akan menurun lagi kepada 2.6 peratus tahun depan.

"Jadi, inflasi mungkin kekal di atas trend jangka panjang (berbanding) purata inflasi sepanjang tahun yang (berada pada) sekitar 2.5 peratus.

"Pendapat kami ialah dasar monetari harus kekal ditangguhkan (dan) kami berpendapat tidak ada sebab untuk melonggarkan dasar monetari pada masa ini.

"Mereka hanya perlu terus menangguhkan atau meningkatkan lebih sedikit, jika perlu, untuk memastikan inflasi turun seperti yang disasarkan," katanya.

Mengulas mengenai ringgit, Hoe berkata kejatuhan ringgit adalah sama seperti mata wang lain, dan sebab utamanya adalah kerana pengukuhan dolar AS.

"Sudah tentu dalam kumpulan mata wang serantau, ringgit mungkin lebih lemah sedikit berbanding yang lain.

"Ini juga mencerminkan fakta bahawa eksport tidak menunjukkan prestasi yang baik dan harga komoditi juga telah mencapai kemuncaknya, mengakibatkan lebihan dagangan mengecil.

"Oleh itu, ada sebab yang kukuh untuk ringgit sedikit lemah, tetapi jika kita membandingkan ringgit dengan mata wang lain di rantau ini, ia tidaklah sebesar seperti yang dilihat jika dibandingkan dengan dolar AS," katanya.

Hoe berkata, satu lagi sebab ringgit lebih lemah ialah kadar faedah Malaysia yang agak rendah berbanding dengan kadar faedah AS.

Beliau menyatakan keputusan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) untuk mengekalkan dasar monetari yang tinggi sehingga inflasi turun kepada sasaran dua peratus akan mengekalkan dolar AS untuk menjadi lebih kukuh.

"Dengan inflasi kekal melebihi sasaran, Fed mungkin akan meningkatkan lagi kadar faedah sebanyak 25 mata asas (bps) atau sehingga 50 mata asas.

"(Kenaikan kadar selanjutnya) juga boleh menyebabkan ekonomi merosot dengan lebih teruk dan mencetuskan kemelesetan di AS, (menimbulkan) risiko besar kepada ekonomi global," tambah beliau.

Hoe seterusnya berpendapat kelemahan ringgit kebanyakannya didorong oleh kuasa pasaran, mencerminkan tebaran kadar faedah, serta sektor luar yang lemah.

"Buat masa ini, kita tidak nampak keperluan bagi mengeluarkan langkah-langkah yang boleh dicuba untuk mengukuhkan ringgit.

"Campur tangan yang bijak mungkin diperlukan untuk mengurangkan ketidaktentuan, tetapi selain itu, (mungkin tidak) perlu penggubal dasar campur tangan untuk menggerakkan kadar pertukaran satu arah atau yang lain," katanya.

Beliau juga menyatakan tiada sebab untuk mengadakan pakej rangsangan besar daripada kerajaan bagi meningkatkan lagi ekonomi.

"Melihat pada data, pelancong yang tiba dari China masih belum pulih sepenuhnya ke tahap prapandemik (dan) oleh itu masih terdapat banyak ruang untuk mengembangkan lagi sektor perkhidmatan," tambahnya.

-- BERNAMA