Anak Cina pun boleh dapat A dalam Bahasa Melayu kalau ada usaha!

Isabelle Leong
November 1, 2017 08:27 MYT
Isabelle akui guru-guru di sekolahnya banyak membantu dirinya untuk cemerlang dalam subjek Bahasa Melayu. - Gambar fail
SAYA menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) enam tahun yang lalu dan sebagai anak tunggal dalam sebuah keluarga berbangsa Cina, ibu bapa memang menaruh harapan yang tinggi supaya saya belajar dengan tekun dan mendapat semua A dalam SPM.
Bagi merealisasikan impian kedua ibu bapa saya, saya dihantar menghadiri kelas-kelas tuisyen.
Sembilan subjek yang diambil, sembilan kelas tuisyen juga lah saya hadir!
Saya harus akui, kelas-kelas tuisyen memang membantu.
Namun begitu, guru-guru Bahasa Melayu di sekolah tidak kurang kehebatan mereka!
BACA: Kementerian Pendidikan garis enam inisiatif martabat Bahasa Melayu
BACA: Kurikulum STEM perlu dinilai semula bagi tarik minat
Jeritan dan kemarahan guru-guru Bahasa Melayu semasa Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima, Encik Dilip dan Cik Chong masih jelas terngiang-ngiang di telinga.
“Girl, karangan ini hantar besok 7 pagi, ya! Jangan lewat. Kalau lewat, jumpa saya di bilik guru.” pesan Encik Dilip.
Satu set kerja rumah dengan masing-masing melibatkan sebuah karangan panjang, rangka sinopsis komponen sastera (Komsas) dan latihan Tatabahasa, begitulah nasib kami setiap Rabu.
“Kalau ada masa, pergi baca akbar Bahasa Melayu di perpustakaan. Timbalah ilmu yang boleh memanfaatkan cara penulisan anda. Novel-novel cinta tu, ketepikan dulu,” pesan Cik Chong pula.
Saya dan beberapa rakan pun membuat rombongan ke perpustakaan untuk membaca surat khabar Utusan Malaysia dan Berita Harian.
Kedua-dua guru yang mengorbankan masa, tenaga dan suara inilah yang menjadikan pembelajaran dan pefahaman BM semasa ambang SPM saya sesuatu yang boleh saya banggakan sehingga sekarang.
Ya akhirnya, berkat usaha dan doa ibu bapa dan guru, saya memperoleh A+ dalam subjek Bahasa Melayu.

* Penulis ialah wartawan pelatih di Astro AWANI.

** Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman peribadi beliau ketika bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Methodist di Ipoh, Perak.

#Bahasa Melayu #Cina #Ipoh #KOMSAS #Melayu #pendidikan #sekolah #Sijil Pelajaran Malaysia #SPM #STEM #Tingkatan