Anak gajah Borneo Pygmy ditemui mati dalam ladang sawit

Bernama
Januari 21, 2021 21:45 MYT
Punca kematian anak gajah jantan Borneo Pygmy ini tidak dapat didiagnosis kerana bangkainya mengalami autolisis yang serius. - Foto Twitter Bernama
LAHAD DATU: Seekor anak gajah jantan Borneo Pygmy ditemukan mati oleh pekerja ladang sawit di kawasan sungai di Ladang Bagahak Saru, Tungku dekat sini pada Selasa.
Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu Silvester Saimin berkata bangkai anak gajah berusia kurang dua tahun itu dipercayai mati sejak seminggu lepas.
"Kesemua organ didapati mengalami autolisis teruk dan bentuk organ perut tidak dapat dinilai. Jantung dan paru-paru juga mengalami autolisis yang teruk.
"Punca kematian tidak dapat didiagnosis kerana bangkai mengalami autolisis yang serius," katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, katanya sampel tisu paru-paru dan jantung haiwan itu sudah diambil bagi pengesanan Elephant Endotheliotropic Herpesviruses (EEHV) dan siasatan lanjut.
Silvester sebelum itu berkata bangkai anak gajah itu ditemukan dalam keadaan tidak mempunyai belalai, telinga kiri serta bibir kiri selain terdapat lubang pada bahagian perut disyaki dimakan haiwan pemangsa.
-- BERNAMA
#anak gajah #Borneo Pygmy #ditemui mati #ladang sawit #Ladang Bagahak Saru #Tungku #Lahad Datu #sampel tisu #EEHV #bangkai #autolisis