KLUANG: Seekor anak gajah mati selepas dilanggar lokomotif kereta api yang membawa penumpang dari JB Central ke Gemas di Kilometer 678.50 antara Rengam - Mengkibol, Kluang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata, ketika kejadian jam 8.19 malam, terdapat seramai 70 penumpang berada di dalam tren terbabit dan semua dilaporkan selamat.

Bagaimanapun, katanya lokomotif terbabit tidak dapat bergerak kerana mengalami kerosakan akibat pelanggaran dengan mamalia berkenaan.

"Polis memaklumkan kejadian kepada Jabatan Perhilitan Kluang, pegawai tiba di lokasi untuk mengambil ukuran saiz gajah dan mengambil gading gajah untuk mengelakkan kecurian.

"Seekor anak gajah terbaring tidak bernyawa di atas tanah berhampiran dengan landasan kereta api dan tidak mengganggu pergerakan lokomotif bantuan.

"Manakala dua ekor gajah berjaya melintas landasan dan menyeberangi jalan utama menuju ke kebun seberang landasan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Menurut Bahrin, kawasan persekitaran di lokasi kejadian dalam keadaan gelap tanpa sebarang lampu landasan.

Hasil pemeriksaan sekitar kawasan kejadian mendapati, pagar sempadan kereta api telah rosak akibat dirempuh dua ekor gajah, tambahnya.

Bahrin menjelaskan, pada jam 10.40 malam lokomotif bantuan tiba di lokasi kejadian dan kerja penyambungan lokomotif ke gerabak berjaya dilakukan dan bergerak dari lokasi.

Katanya, pihak Perhilitan Kluang telah tiba di lokasi dan mengambil saiz anak gajah serta pemotongan gading telah dibuat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti diambil oleh orang awam.

"Kerja-kerja penananam bangkai anak gajah akan diuruskan dengan bantuan jentera JCB milik syarikat YTL Berhad.

"Tiada halangan ke atas landasan kereta api untuk bergerak seterusnya," katanya.