KUALA LUMPUR : Seorang anak istimewa kurang upaya (OKU) sindrom Down ditemui melecur teruk pada dada, tangan dan leher dipercayai didera di pusat asuhan di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini.

Ketua Jabatan Sisatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, remaja berusia 13 tahun itu yang diselamatkan selepas pihaknya menerima aduan pada 24 Jun lalu, turut mempunyai kesan luka pada paha.

Katanya, difahamkan mangsa telah tinggal di pusat asuhan berkenaan di bawah pengawasan seorang wanita berusia 28 tahun sejak 14 Julai tahun lalu.

“Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan selain turut disahkan positif COVID-19.

“Hasil siasatan polis, unit berkenaan turut didiami enam orang kanak-kanak dan dua daripada mereka merupakan OKU. Bagaimanapun mereka tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Remaja Sindrom Down melecur di badan disyaki didera. - Video/ Ihsan pembaca/ Mona Din

Menurut Saiful Annuar, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tempoh tidak melebihi 20 puluh tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut, katanya polis masih menunggu untuk mengambil keterangan saksi-saksi terlibat yang ketika ini masih menjalani kuarantin kerana positif COVID-19.

Katanya, polis pada masa sama akan turut memanggil suspek wainta berusia 28 tahun itu bagi membantu siasatan.

Terdahulu, video dan gambar keadaan mangsa menjadi tular di laman sosial apabila didedahkan oleh seorang wanita dikenali sebagai Mona Din.

Beliau antara lain, mendedahkan penderitaan mangsa terbongkar apabila beberapa penghuni pusat jagaan kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu positif COVID-19 menyebabkan pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) datang ke premis berkenaan, sebelum mangsa ditemui.