ALOR SETAR: Ketika dunia teknologi semakin berkembang anak muda Muhammad Azim Azizan, 24, masih mempercayai wujudnya nilai sentimental amalan menghantar kad ucapan Selamat Hari Raya dilakukan secara pos yang jarang dilakukan oleh golongan muda.

Muhammad Azim berkata, amalan itu menjadi kemestiannya sejak kecil kerana budaya tersebut dianggap mampu mengeratkan lagi hubungan erat antara satu sama lain.

Katanya, golongan muda lebih gemar menghantar ucapan menerusi laman sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter mahupun masej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Menurutnya, keunikan kad ucapan Hari Raya ia boleh disimpan sehingga ke akhir hayat tetapi ucapan melalui di media sosial pula tidak bertahan lama malah akan hilang jika terpadam atau telefon rosak dan sebagainya.

Baginya menghantar kad raya secara pos sangat klasik dan mempunyai nilai estetika tersendiri.

Zaman teknologi ini zaman maju, banyak gunakan media sosial seperti Facebook dan WhatsApp untuk lagi cepat nak bagi cara sebegini ini.

"Untuk kita menghantar kad raya ni perlu diteruskan jangan sampai sekerat jalan sahaja sebab kad raya ini dari dulu lagi turun-temurun," katanya.

Jelas Muhammad Azim, untuk memenuhi minatnya itu, dia sanggup membelanjakan lebih RM300 untuk membeli kad Hari Raya serta setem.

Katanya, dia akan mencari kad raya terbabit di kedai buku sekitar Alor Setar dan Jitra untuk dibeli.

Baginya tulisan tangan dengan susunan ayat serta pantun seloka pada kad raya berkenaan memberi seribu satu sejarah yang tidak akan dilupakan.

"Apabila kita dapat macam itu, kenangannya tidak hilang," katanya.

Kini dia sudah mengumpul lebih 1,000 keping kad ucapan Hari Raya sejak mula menyimpannya pada tahun 2017 ketika masih bersekolah.

Katanya, selain daripada rakan dan saudara-mara, dia pernah menerima ucapan balas kad raya daripada golongan kenamaan, pejabat kerajaan dan paling mengejutkannya diterima daripada Sultan Brunei.

Jelas anak ketiga dari empat adik beradik ini, dia tidak pernah berkecil hati kerana ada di antara kirimannya tidak dibalas.

"Keunikan sampul setiap negeri, setiap orang dia lain. Itu yang cantik. Yang paling cantik daripada luar negara iaitu Sultan Brunei.

"Sultan Brunei ada hantar ucapan Selamat Hari Raya dengan tanda tangan sendiri dengan pen. Kita boleh tengok yang mana original, yang mana yang print. Baginda hantar guna tanda tangan yang tulen," katanya.

Minat Muhammad Azim diinspirasikan oleh bapanya Azizan Haroon, 58,  yang menyimpan banyak koleksi kad raya dan menghantar kad raya ketika dia masih kecil.

Menurut Azizan, dia memberi galakan kepada minat anaknya itu.

Katanya, dia mula menyimpan kad raya ketika zaman muda sekitar tahun 1970-an dan pada waktu itu tradisi menghantar dan membalas kad raya sangat meriah.

"Saya mula kumpul hantar kad-kad raya ini sebab dulu murah semua guna untuk mengeratkan tali silaturrahim dengan kawan-kawan dengan sedara-sedara, adik-beradik semua.

"Saya juga salah seorang peminat kumpul koleksi-koleksi seperti ini sampailah sekarang," katanya.