Anak lelaki Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat dalam proses audit syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dikendalikan syarikat Deloitte & Co.

Hal itu disahkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang menolak kemungkinan adanya konflik kepentingan yang didakwa membabitkan kedua-dua syarikat tersebut.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberitahu anak lelaki Najib, Nizar Najib, bertugas di jabatan yang berlainan di firma itu iaitu sebagai penasihat perkhidmatan kewangan.

Ini bermakna Nizar tidak mempunyai sebarang kuasa dan pengaruh dalam proses audit tersebut.

"Nizar tidak terbabit dalam proses audit. Beliau bertugas di firma penasihat perkhidmatan kewangan dan sudah bertugas di situ sejak tahun 2004," kata Nur Jazlan.

Nur Jazlan juga mengesahkan PAC telah menyoal siasat Deloitte berkenaan isu tersebut.

Deloitte mengambil alih peranan pengauditan 1MDB dari KPMG selepas bulan Mac 2013.

Nizar memulakan kerjaya di Deloitte pada tahun 2004 sebagai konsultan.

PAC nafi pembabitan Nizar Najib dalam proses pengauditan 1MDB