Skip to main content

Malaysia

'Anak saya rebah ketika hampiri garisan penamat' - Bapa peserta KKEC UiTM

Sinar Harian
Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal. -Foto Sinar Harian
Advertisement

TEMERLOH: "Saya dimaklumkan dia kelihatan lemah dan rebah ketika menghampiri garisan penamat dalam acara larian sebelum dihantar ke fasiliti perubatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka untuk rawatan, Jumaat lalu.

"Kira-kira jam 11 malam, saya menerima panggilan daripada pegawai UiTM memaklumkan anak saya dibawa ke Hospital Jengka sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh, dipercayai akibat strok haba."

Demikian kata Mohamad Fellimal Mohd Sulanah, 50, bapa kepada Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana, 21, peserta Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 yang meninggal dunia selepas menyertai acara yang berlangsung di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka.

Pelajar dari UiTM Kampus Seremban itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) kira-kira jam 2 petang pada Sabtu.

Mohamad Fellimal berkata anaknya yang mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi dilaporkan berada dalam keadaan sihat sebelum menyertai acara itu.

Katanya, anaknya juga pernah menyertai cabaran itu dalam dua edisi terdahulu malah pasukannya menjadi antara pemenang.

"Dia memang minat acara sukan dan membuat persiapan mencukupi sebelum menyertai acara ini.

"Sebelum itu, saya sempat pesan supaya dia minum banyak air memandangkan cuaca panas dan beberapa kawasan agak berjerebu ketika ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik HOSHAS pada Ahad.

Mohamad Fellimal berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya menerusi WhatsApp pada jam 6.55 petang, 4 September lalu.

"Terkejut bila menerima panggilan daripada pegawai UiTM memaklumkan dia dibawa ke hospital.

"Saya dan isteri bertolak dari Shah Alam dan tiba di sini (HoSHAS)kira-kira jam 3.30 pagi sebelum dibenarkan melihat mangsa yang ketika itu berada di zon merah dari jarak jauh," katanya.

Berkongsi kenangan bersama anaknya itu, Mohamad Fellimal berkata, kali terakhir mereka bertemu ketika majlis pentauliahan dan konvokesyen Leftenan Muda Kesatria di UiTM Shah Alam 29 Ogos lalu.

"Kami rakam banyak gambar pada majlis itu untuk kenangan, rupanya itu kenangan terakhir kami bersamanya.

"Anak saya baru menamatkan pengajian diploma dan merancang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, namun ini pula berlaku," katanya.

Must Watch Video

Advertisement