Anak syarikat KKDW ditutup, Zahid dedah butiran lanjut di Parlimen

Sinar Harian
Januari 5, 2024 03:35 MYT
Ahmad Zahid bersama warga kerja kementeriannya semasa majlis Amanat Tahun 2024 KKDW pada Jumaat. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan terdapat anak syarikat kepada agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang ditutup.
Ia berikutan anak syarikat berkenaan tidak merekodkan keuntungan.
Bagaimanapun, beliau akan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara tersebut di Parlimen.
"Kementerian sudah menawarkan kaedah 'management buy out' (MBO) atau pengambilan pengurusan anak syarikat itu," katanya.
Menurutnya, pengerusi-pengerusi agensi dan lembaga kemajuan wilayah telah diarahkan supaya berusaha memulihkan semula syarikat yang tidak mempunyai keuntungan.
"Elok cari jalan untuk menyumbang kepada keuntungan kepada agensi dan KKDW dan jika tidak (gagal), arahan saya sila tutup.
"Ini sangat penting supaya kita tak tanggung ' biawak hidup' dalam organisasi kita," katanya.
Beliau berkata, kementerian juga telah menyerahkan kepada pengurusan syarikat bayaran nominal (setimpal) jika mereka ingin keluar dari anak syarikat itu.
Tambahnya, tindakan itu juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Malah Perdana Menteri telah menggunakan acuan itu untuk mengarahkan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) melakukan tindakan sama," katanya.
Pada Ogos tahun lalu, Ahmad Zahid mengarahkan supaya anak syarikat agensi di bawah KKDW yang tidak memberikan keuntungan akan ditutup dan digabungkan dengan anak syarikat lain bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan. - Sinar Harian
#Zahid Hamidi #anak syarikat #Kemajuan Desa dan Wilayah #tutup