Anak terabai: 'Ibu bapa sibuk kejar kemewahan'

Kohilah Sekaran
September 18, 2015 10:54 MYT
Majoriti pembaca Astro Awani berpendapat insiden kanak-kanak terjun tingkat rumah berlaku kerana ibu bapa zaman sekarang sibuk mengejar kemewahan dan bertanding dalam dunia materialistik. - Gambar Hiasan
Netizen semalam dikejutkan dengan berita seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang lapar nekad terjun dari balkoni rumah di tingkat dua perumahan penjawat awam di Presint 18.
Kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian dalam kunci berkunci itu mengalami kecedaraan di bahagian mulut dan gigi berikutan tindakan itu.
Majoriti pembaca Astro Awani berpendapat insiden seperti berlaku kerana ibu bapa zaman sekarang sibuk mengejar kemewahan dan bersaing dalam dunia materialistik.
Menerusi satu soalan terbuka yang dilakukan laman sosial Astro AWANI, “Apakah masalah yang berlaku di sebalik kejadian ini dan kenapa ia boleh berlaku?’, kebanyakan netizen berkata kos hidup yang tinggi menjadi punca ibu bapa mengejar harta sehingga gagal melaksanakan tanggungjawab serta peranan mereka sebagai ibu bapa.
Menurut seorang pengguna Twitter, Nurul Azira, ibu bapa kanak-kanak berkenaan mungkin terlalu sibuk dengan urusan kerja sehingga kebajikan anak-anaknya terbiar.
Wanie Azizan berpendapat ibu bapa mangsa gagal memberi didikan yang secukupnya kepada anak mereka. Hal ini mungkin berlaku kerana mereka sibuk mencari duit, lebih-lebih lagi kos hidup yang semakin tinggi sejak kebelakangan ini.
Zulkiplee Mahdi pula menyatakan bahawa manusia zaman sekarang terlalu cuai dan sibuk sehingga melupakan tanggungjawab mereka di rumah sendiri.
Sementara itu, ada segelintir yang berpandangan golongan ibu bapa harus lebih peka dan bertanggungjawab kerana kecuaian boleh membawa padah.
Menurut seorang pengguna Facebook, Maizom Hassan, kanak-kanak tidak seharusnya dibiarkan bersendirian di rumah, kerana tindakan itu amat berbahaya.
“Apapun alasan, anak kecil tidak boleh dibiarkan bersendirian di rumah..banyak aspek keselamatan...sebagai contoh,kalau berlaku kebakaran, macam mana?” soal Maizom.
Fauziah Mastan pula berkata, “kalau nak tinggalkan anak, tinggalkan makanan sekali, walaupun anak itu masih kecil.”
#Awani #ibu bapa #poll #terjun