Anak terperosok bawah lori, ibu tercampak 5 meter dalam kemalangan maut

Adie Sufian Zulkefli
April 8, 2018 03:24 MYT
Akibat rempuhan, Dinesh terperosok di bawah lori manakala ibunya melambung ke bahu jalan kira-kira 5 meter sebelum terjatuh di hadapan lori. -Foto Astro AWANI/Adie Sufian
Hasrat seorang ibu dan anak untuk membeli makan malam berakhir tragedi apabila dua beranak ini maut dalam kemalangan jalan raya malam tadi.
Dalam kejadian jam 9.29 malam itu, mangsa Dinesh Elumalai, 19 tahun, yang menunggang motosikal jenis SYM membawa ibunya Vannie Ramoo, 57 tahun, dari arah Padang Serai menghala ke Sungai Karangan untuk membeli makanan buat bapanya.
Setiba di lokasi kejadian, mangsa cuba memotong kereta di hadapan namun gagal lalu bertembung dengan sebuah lori tiga tan yang datang dari arah bertentangan.
Akibat rempuhan, Dinesh terperosok di bawah lori manakala ibunya Vannie melambung ke bahu jalan kira-kira 5 meter sebelum terjatuh di hadapan lori tersebut.
Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selain patah tengkuk.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ahmad Nasir Jaafar, polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Ahmad Nasir Jaafar #Dinesh Elumalai #kemalangan #maut #Vannie Ramoo