KUALA LUMPUR: Vaksinasi kepada kanak-kanak dan remaja adalah perlu, sepertimana kepada dewasa, bagi mengelakkan mereka mendapat kesan berpanjangan yang dikhuatiri melarat sekiranya dijangkiti COVID-19.

Jelas pakar kanak-kanak yang juga Pengerusi Program Immunise4Life, Datuk Dr Zulkifli Ismail, sindrom 'long COVID' berpotensi membawa kesan yang lebih mudarat menjadi sindrom keradangan multisistem dalam kanak-kanak (MIS-C).

“MIS-C ini presentasinya sama seperti penyakit Kawasaki, mereka yang baik daripada jangkitan COVID-19 itu boleh demam semula dan diikuti muka, mata, tangan dan kaki menjadi merah juga bengkak.

“Ini juga boleh melibatkan jantung serta organ-organ lain seperti ginjal, hati dan sebagainya,” katanya.

Katanya, berdasarkan laporan di United Kingdom, satu daripada tujuh kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 mendapat sindrom 'long COVID'.

Sementara itu, menurut maklumat yang diperolehi daripada Kementerian Kesihatan, laporan 14 jabatan pediatrik seluruh negara menyatakan bahawa terdapat 170 kes MIS-C melibatkan mereka yang berusia kurang dari 18 tahun.

Daripada jumlah itu, 90 peratus daripadanya berumur kurang dari 12 tahun dan ada tujuh kematian dicatatkan.

“Jadi kalau ada lagi keraguan berkenaan dengan kenapa kita perlu beri vaksin kepada kanak-kanak, inilah sebabnya kita nak mencegah daripada mereka mendapat 'long COVID' dan mendapat MIS-C,” jelasnya lagi

Tonton sesi penuh temu bual bersama beliau dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:

Anak-anak perlu divaksin untuk elak kesan 'long COVID', MIS-C


Agenda AWANI: Anak cucuk vaksin, ibu bapa sudah bersedia?