[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Anak-anak perlu kuasai AI tanpa abai agama dan budaya - PM Anwar

Bernama 11/09/2025 | 14:30 MYT
Anwar berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti bersempena lawatan Perdana Menteri ke Sarawak di sebuah hotel malam ini. - Gambar Bernama
KUCHING: Generasi muda perlu dilatih untuk menguasai kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, namun dalam masa sama tidak boleh mengabaikan peranan agama serta budaya sebagai benteng mempertahankan jati diri negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata latihan dan pendidikan berhubung AI perlu disertai dengan nilai hidup, moral, akhlak serta etika supaya penggunaan teknologi tidak menghakis identiti bangsa.

"Anak-anak kita dalam AI mesti dilatih pertama, kecanggihan teknologi, dia mesti kuasai. Keduanya, dia mesti bangga dengan agamanya, budayanya, sejarahnya... supaya dapat mempertahankan jati diri kita," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti sempena lawatan beliau ke Sarawak di sini, malam ini yang turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Perdana Menteri berkata peranan nilai ini penting kerana "yang membezakan manusia dengan AI sebagai mesin ialah nilai, moral, akhlak dan etika".

Dalam pada itu, Anwar berkata dasar transformasi digital negara mesti memberi manfaat secara saksama dan tidak mencetuskan jurang digital antara golongan berada dengan masyarakat di pedalaman.

Beliau berkata akses teknologi, termasuk AI, tidak seharusnya terbatas kepada kelompok elit semata-mata.

"Jangan berlaku digital divide... golongan berada elit punya peluang, yang miskin bandar, di desa, di pedalaman terpinggir kerana tidak ada konektiviti dan kemudahan," katanya.

Perdana Menteri berkata pelaksanaan dasar digital itu perlu dipantau secara berterusan, agar hasil pelaburan besar dalam bidang tersebut benar-benar meningkatkan produktiviti negara.

"Kita belanja banyak untuk teknologi, untuk komputer, untuk IT dan sekarang AI. Harus ada kesediaan kita untuk mengkaji sama ada perolehan yang besar itu memberikan hasil produktiviti," katanya.

Perdana Menteri dalam ucapannya turut menekankan betapa pentingnya kestabilan politik dan semangat perpaduan sebagai faktor penting, yang membolehkan Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi serta mendapat keyakinan pelabur.

Beliau berkata kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri termasuk Sarawak, menjadi asas kepada pembangunan negara yang lebih mampan.

"Bayangkan kalau politik tidak stabil, mana mungkin kita mara, mana mungkin kita yakin...industri sendiri tidak akan yakin. Tetapi Alhamdulillah, kesedaran politik itu kerana kekuatan kerjasama yang ada," kata Perdana Menteri.

Anwar berkata perpaduan kaum dan agama di Sarawak wajar dijadikan contoh, kerana negeri itu masih utuh daripada masalah perpecahan sebagaimana dialami di beberapa negeri lain.

-- BERNAMA


#generasi muda #kecerdasan buatan #pelaburan #pendidikan