KUALA LUMPUR: Bermula 1 April ini, Malaysia akan dibuka semula hampir sepenuhnya yang menyaksikan antara lain pelawat lengkap vaksinasi dibenarkan masuk tanpa perlu menjalani kuarantin, sementara had waktu operasi perniagaan yang dikenakan sebelum ini ditarik balik.
Menurut kerajaan, pembukaan semula negara atau "fasa peralihan kepada endemik" itu adalah tepat pada masanya, hasil program pemvaksinan dengan kadar vaksinasi yang agak tinggi iaitu 78.9 peratus. Walaupun kes baharu masih tinggi, kadar kemasukan ke hospital dan kes yang teruk berkurangan.
Amnya rakyat Malaysia dan masyarakat di luar negara teruja dengan perkhabaran itu. Ini termasuk pakar ekonomi dan komuniti perniagaan yang sudah semestinya gembira. Namun bagi pengamal perubatan, ada yang optimistik dalam waspada sementara yang lain pula berasa bimbang.
Perunding pediatrik Dr Musa Mohd Noordin melihat pembukaan semula negara ketika kes jangkitan merekodkan angka tertinggi baharu - jumlah kes harian tertinggi sebanyak 33,209 dicatatkan pada 4 Mac lepas - mungkin bersifat bertentangan.
"Tahap ketidakpastian masih tinggi dan ini perlu ditangani secara bijak sekiranya tidak mahu kegembiraan daripada pembukaan semula negara ini menimbulkan rasa selamat yang tidak mencerminkan keadaan sebenar dalam masyarakat," katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada Bernama.
Tidak boleh disangkal bahawa Malaysia perlu dibuka semula demi ekonominya. Susulan penularan pandemik COVID-19, kira-kira 580,000 isi rumah jatuh di bawah paras garis kemiskinan dalam tempoh dua tahun lepas. Selain itu, lebih 6.1 juta rakyat memiliki simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mereka setakat 30 Sept lalu, dan daripada jumlah itu pula, sekitar 3.6 juta mempunyai simpanan persaraan tidak sampai RM1,000.
Ini belum lagi mengambil kira kesan banjir besar yang berlaku pada Disember lepas yang menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan sementara kerugian pula berjuta ringgit.
Pakar ekonomi Prof Yeah Kim Leng daripada Sunway Unversity memberitahu Bernama, pembukaan semula itu merupakan suntikan yang diperlukan oleh ekonomi, dan menurut beliau, sekatan yang berpanjangan mungkin tidak lagi dapat memberikan hasil yang dikehendaki kerana kelesuan pandemik sudah mula dirasai.
"Malaysia sedang pulih dan untuk memastikan perkembangannya kita perlu tarik balik sekatan. Pembukaan semula ini tepat pada masanya bagi mengurangkan kesan terhadap ekonomi," katanya.
MANFAAT BESAR SEKTOR PELANCONGAN
Beliau menjangka sektor pelancongan menjadi penerima faedah terbesar daripada keputusan kerajaan itu seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketika fasa peralihan kepada endemik ini sempadan negara dibuka sepenuhnya kepada pelawat yang lengkap vaksinasi, iaitu mereka yang diuji negatif COVID-19 dua hari sebelum ketibaan dan dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan. Mereka juga tidak perlu lagi dikuarantin.
Tempoh operasi perniagaan yang selama ini dihadkan, dibenarkan beroperasi mengikut syarat lesen perniagaan mereka seperti restoran mamak 24 jam, sementara jumlah kehadiran dalam satu-satu perhimpunan juga tidak lagi dihadkan, namun masing-masing perlu mengaktifkan aplikasi MySejahtera Trace.
Dalam pada itu pemakaian pelitup muka masih diwajibkan.
Jurucakap Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Nigel Wong yang berasa lega dengan pengumuman itu, berkata masanya sudah tiba untuk negara berbuat demikian.
Menurutnya, sepanjang dua tahun lepas, pengusaha pelancongan melalui tempoh perit dengan pendapatan merudum berikutan ketiadaan pelancong asing yang lazimnya berbelanja besar.
"Kami cuba bertahan menerusi pelancongan domestik yang menghidupkan semula ekonomi, namun sektor itu tidak mampan. Rakyat Malaysia adalah pelancong bebas. Mereka lebih suka tinggal bersama-sama keluarga dan makan-makan, bebas melawat tempat pelancongan tanpa mengupah pemandu pelancong," jelasnya kepada Bernama.
BIMBANG AKAN AKIBAT
Di sebalik kegembiraan rata-rata rakyat, ada yang bimbang dan teringat tentang akibat Pilihan Raya Negeri Sabah serta pengoperasian bazar Ramadan tahun lepas yang menyaksikan peningkatan mendadak jangkitan.
Menurut pakar kesihatan, setakat ini beban kes adalah terkawal yang merupakan hasil kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan individu dewasa dan remaja.
"Kita tidak boleh tunggu sampai 100 peratus (penduduk divaksinasi) sebelum kita buka semula negara dan cuba pulihkan ekonomi serta kehidupan rakyat," kata Prof Madya Dr Rafdzah Ahmad Zaki, pakar epidemiologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Bagaimanapun beliau dan beberapa pakar kesihatan lain mengakui akan ada akibat daripada pembukaan semula negara itu dengan masing-masing menjangka berlaku peningkatan kes. Petugas barisan hadapan khususnya, bimbang dengan kesan yang bakal diterima.
Setiausaha Agung Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan Sivaranji Manickam memberitahu Bernama walaupun kesemua mereka telah divaksinasi, rutin mereka akan tergendala sekiranya berlaku jangkitan kerana mereka perlu dikuarantin.
Pertubuhannya mewakili pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di kemudahan awam seperti hospital dan sekolah dengan masing-masing bergaji rendah, kurang RM1,500 sebulan.
"(Jika dijangkiti), kami tidak boleh bekerja, tidak boleh keluar," katanya, menambah golongan terbabit tidak mampu menanggung kesan ekonomi sekiranya rutin kerja mereka tergendala akibat dikuarantin dengan ada yang mungkin tidak dibayar gaji.
Pada masa sama, dunia berdepan ancaman subvarian membimbangkan BA.2 yang dilaporkan lebih mudah tersebar berbanding strain BA.1 COVID-19 yang lebih "lemah". Subvarian BA.2 dilaporkan mendominasi jangkitan di Hong Kong dan sedang menular di India, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Sekalipun vaksin boleh mencegah jangkitan teruk dan kematian, mereka yang tidak divaksinasi atau pesakit komorbid adalah golongan yang amat terdedah kepada jangkitan itu.
Paling dibimbangkan ialah kanak-kanak. Walaupun kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun termasuk dalam program pemvaksinan COVID-19 besar-besaran di Malaysia, jumlah yang menerima vaksin masih rendah iaitu sekitar 30 peratus setakat ini. Kanak-kanak berusia bawah lima tahun pula tidak dibenarkan menerima vaksin itu, sekali gus menjadikan mereka golongan terdedah.
Pakar virulogi di Monash University-Malaysia Dr Vinod Balasubramaniam berkata beliau lebih suka jika Malaysia menunggu beberapa bulan lagi sebelum pembukaan semula bagi membolehkan lebih ramai kanak-kanak divaksinasi dan orang dewasa menerima dos penggalak.
"Bagi saya langkah ini terlalu awal. Memang secara keseluruhan kadar vaksinasi bagus, namun jika dilihat di sesetengah negeri, angkanya tidak seragam," jelas beliau.
Beliau dan pakar kesihatan lain menekankan pentingnya kerajaan meneruskan pendidikan tentang vaksin serta langkah outreach kepada golongan yang sukar diyakinkan untuk menerima vaksin. Satu caranya ialah menyampaikan mesej kepada umum bahawa menyelamatkan nyawa tidak semestinya perlu "mengorbankan" ekonomi.
Dalam pada itu, Dr Musa yang mengakui sekatan kesihatan yang ketat tidak boleh dilaksanakan untuk selama-lamanya, berkata kerajaan wajar berhati-hati dalam memberi penjelasan dengan tidak memperkecil COVID-19 dan risikonya. Sebaliknya kata beliau, adalah lebih baik bagi kerajaan memberi penekanan tentang bagaimana langkah kesihatan dan usaha menyelamatkan nyawa dapat membantu ekonomi masyarakat.
"Kajian menunjukkan kebimbangan terhadap kedudukan ekonomi seseorang mendorong dia menjadi individu yang lebih baik dari segi mencegah jangkitan virus dan menyokong dasar kesihatan untuk mengekang penularan virus," katanya.
Menurut beliau, komunikasi risiko yang bertanggungjawab terbukti berkesan jika komunikasi itu secara konsisten menyampaikan mesej bahawa langkah pencegahan kesihatan awam adalah penting dan perlu dipatuhi bagi mengelakkan dibuang kerja dan melindungi sumber pendapatan yang sekali gus mencegah masalah ekonomi yang lebih buruk.
Dalam pada itu, ada sesuatu yang berbeza berkaitan keputusan kerajaan kali ini yang mungkin juga menyokong keputusan tersebut - kewujudan ubat khusus untuk COVID-19. Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan 110,000 unit ubat antiviral Paxlovid keluaran Pfizer akan tiba di negara ini pada bulan ini.
Bagaimanapun Dr Rafdzah mengingatkan ubat itu bukan 'silver bullet' atau penyelesaian mutlak COVID-19 serta tidak boleh menggantikan langkah pencegahan sedia ada, iaitu pemakaian pelitup muka berkualiti dan vaksinasi lengkap.
"Ini termasuk mendapatkan dos penggalak," tegasnya.
-- BERNAMA / Nurul Isnaini Mohd Muslim
Bernama
Sun Mar 13 2022
Ramai yang berpendapat, pembukaan semula itu merupakan suntikan yang diperlukan oleh ekonomi. - Gambar fail
Yusoff Rawther akan buat permohonan benar ikat jamin - Peguam
Bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther akan membuat permohonan agar mahkamah membenarkannya dijamin selepas didakwa mengedar dadah jenis kanabis.
[TERKINI] Komited tangani pencuri, salah guna kuasa
Perdana Menteri menegaskan kerajaan komited dalam urusan undang-undang negara dan sesiapa sahaja mencuri duit atau salah guna kuasa wajar mendapat hukuman.
'Abang Bas' didakwa lagi di mahkamah, sempat tunjuk 'mini love'
Tertuduh berusia 24 tahun yang memakai baju berwarna hitam tiba di mahkamah pada jam 9.30 pagi bagi pertuduhan memuat naik komen jelik berhubung video seorang kanak-kanak perempuan.
Mahkamah benar permohonan kerajaan tangguh pindah hak milik tanah kepada Semantan Estate
Kerajaan berjaya dalam permohonannya untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pemindahan hak milik tanah di Mukim Batu kepada Semantan Estate,
PRN Sabah: UMNO akan kerjasama dengan PH, kaedah terbaik kekalkan Kerajaan Perpaduan
UMNO memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
AWANI Ringkas: UMNO-BN Sabah setuju bentuk pakatan
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Abang bas mengaku tidak bersalah beri komen jelik dalam video
Abang Bas yang berusia 24 tahun yang dihadapkan ke mahkamah sekali lagi hari ini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Batu Pahat atas tuduhan membuat komen jelik dalam videonya awal bulan ini.
Sekolah Eropah ketatkan peraturan penggunaan telefon bimbit
Negara Eropah semakin meningkatkan kebimbangan mereka mengenai penggunaan telefon bimbit, media sosial dan bentuk komunikasi digital.
Kelantan Darul Naim mohon SSI sebagai gelanggang tuan rumah
Stadium Sultan Muhammad IV masih dalam proses naik taraf sehingga pertengahan Oktober depan.
Anak pertama Jokowi nafi pemilik akaun kritik Prabowo
Naib Presiden terpilih Indonesia, Gibran Rakabuming Raka menafikan dakwaan rakyat Indonesia yang mendakwa beliau adalah pemilik sebuah akaun tidak dikenali bernama 'Fufufafa' di platform Kaskus, sebuah forum dalam talian terbesar di Indonesia.
Menurut media tempatan, akaun tersebut sering mengkritik Presiden terpilih Indonesia, Prabowo Subianto, semasa Pemilihan Umum (Pemilu) republik itu pada 2014.
Menurut media tempatan, akaun tersebut sering mengkritik Presiden terpilih Indonesia, Prabowo Subianto, semasa Pemilihan Umum (Pemilu) republik itu pada 2014.
Malaysia sampaikan hasrat supaya Mesir buka sempadan - Speaker Dewan Rakyat
Hasrat itu telah disampaikan kepada Duta Besar Mesir ke Malaysia Ragai Tawfik Said Nasr yang hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Pakistan buka semua lintasan sempadan utama dengan Afghanistan
Pakistan membuka semula lintasan sempadan utama dengan negara jiran Afghanistan kepada semua jenis lalu lintas pada Sabtu.
COVID-19: China akan analisis sampel daripada pelawat luar negara untuk kenal pasti varian
China yang membuka sempadannya pada Ahad selepas tiga tahun sekatan akibat COVID-19 akan menganalisis sampel daripada penumpang luar negara yang positif koronavirus untuk menentukan varian.
Hong Kong rancang umum rancangan buka sempadan dengan Tanah Besar China
Pihak berkuasa menyasarkan untuk membuka semula semua pintu masuk antara kedua-dua pihak secara beransur-ansur, teratur dan menyeluruh.
Thailand wajar buka sempadan bersamanya dengan Myanmar mudahkan bantuan kemanusiaan
Malaysia dan Indonesia selaku anggota pengasas ASEAN perlu menerajui usaha untuk meminta Thailand membuka sempadannya dengan Myanmar bagi memudahkan usaha bantuan kemanusiaan dilaksanakan.
Buka sempadan: Padang Besar lengang, hanya 8 individu masuk ke Thailand
Keadaan itu tidak ubah seperti apa yang berlaku di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Wang Kelian, Perlis, 1 April lalu.
Seramai 204,927 pelawat Singapura masuki negara sejak 1 April - Nancy
Trend peningkatan itu memberi sinar harapan meyakinkan bahawa sektor pelancongan negara dalam landasan pemulihan positif.
Pembukaan sempadan negara: Peniaga kuih raya tidak menang tangan
Walaupun terdapat permintaan tinggi daripada pelanggan, ada yang berdepan masalah pengeluaran produk kerana kekurangan tenaga pekerja.
Sarawak dipilih destinasi lawatan pelancong sempena MATTA Fair 2022
Penyertaan Sarawak dalam pameran pelancongan pengguna terbesar negara itu, adalah tepat pada masanya susulan pembukaan semula sempadan negara.
Tiga stesen minyak disiasat benarkan kenderaan asing isi RON95 - KPDNHEP
KPDNHEP menerima tujuh aduan berkaitan dakwaan itu setakat ini.