Pengarang buku terkenal, Anas Zubedy dan tokoh akademik, Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim merupakan antara pemenang Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang (AINUA) 2014 yang memberi pengiktirafan kepada mereka yang memperjuangkan perpaduan antara kaum.

Dibahagikan kepada tiga kategori, anugerah ini diberikan kepada individu mahupun organisasi yang membantu masyarakat memupuk persefahaman dan persahabatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kategori-kategori tersebut adalah; Anugerah Salam Benua yang dikongsi tiga pemenang, Anugerah Merpati Putih yang mempunyai lima pemenang dan Anugerah Salam Khas yang mempunyai dua pemenang.

Berikut merupakan senarai pemenang AINUA 2014:

Anugerah Salam Benua:
- Anas Zubedy
- Majlis Kebangsaan Befrienders Malaysia (Befrienders)
- Datuk Dr Lim Peng Chong

Anugerah Merpati Putih:
- Subramaniam Karupayah
- Lumat Dadi
- Lim Thien Phin
- Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim
- Pergerakan Pemuda Malaysia

Anugerah Khas:
- Jamaluddin Mat Ali
- Gan Leong Piow

Bagi Anugerah Salam Benua, setiap pemenang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 beserta trofi dan sijil penghargaan, manakala pemenang-pemenag Anugerah Merpati Putih pula membawa pulang RM10,000 beserta sijil penghargaan.

Sementara itu, Joseph Kurup dalam ucapannya menyifatkan anugerah yang diambil sempena nama Sasterawan Negara, Datuk Dr Usman Awang ini, tiada tolok bandingannya dan merupakan suatu usaha yang sangat terpuji.

"Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang ini sesungguhnya merupakan anugerah yang amat besar ertinya kepada bangsa dan negara Malaysia yang tercinta ini.

"Maka saya percaya kita semua wajar mengalungkan penghargaan dan ucapan syabas kepada Huazong dan rakan penganjurnya Yayasan Usman Awang," katanya.

Katanya, perpaduan dan integrasi merupakan kunci segala kejayaan bangsa dan negara sama ada dalam membina kestabilan politik, pembangunan prasarana, sosial, ekonomi, pendidikan serta pelbagai bidang.

Jelas Joseph, ia adalah tanggungjawab semua pihak tidak kira parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi, persatuan dan juga individu.

Majlis AINUA 2014 telah dianjurkan oleh Yayasan Usman Awang dengan kerjasama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong), dan telah diadakan di Berjaya Hotel, Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup; Presiden Kehormat Huazong, Tan Sri Ng Teck Fong; Naib Pengerusi Huazong, Lau Chee Boon; Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka, Tan Sri Kamarul Ariffin; Penasihat Yayasan Usman Awang, Haslina Usman; pelakon teater dan juga ahli jawatankuasa YUA, Datuk Faridah Merican; dan wakil-wakil lain dari YUA dan Huazong.