JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesahkan ancaman bom yang diterima di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Bukit Senyum adalah palsu dan premis itu selamat beroperasi.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBJB dalam satu kenyataan berkata, MBJB telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

Katanya, arahan pengungsian bangunan dan berkumpul di lokasi menunggu telah dikeluarkan kepada seluruh anggota MBJB dan orang awam di Menara MBJB sekitar jam 12 tengah hari ini sehingga pemeriksaan dilaksanakan oleh pihak PDRM.




"MBJB menerima emel yang mengandungi ancaman bom dari individu yang mendakwa dirinya sebagai Takashiro Karasawa ([email protected]) pada pagi tadi.

"Susulan penerimaan emel tersebut, MBJB telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

"Lanjutan pemeriksaan menyeluruh dari pihak PDRM, anggota MBJB telah dibenarkan untuk kembali semula ke pejabat jam 2 petang tadi.

"Ketika ancaman tersebut diterima, bangunan ini terdapat lebih 500 termasuk kakitangan dan orang awam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menara MBJB menempatkan lebih 1,000 pekerja dan menggantikan kompleks lama yang berusia lebih 50 tahun.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian.

"Keadaan terkawal tiada terkesan objek yang mencurigakan di 22 tingkat MBJB," katanya.