Ancaman bom palsu di pusat beli belah di Ipoh, polis tahan suspek di Kampar

Abd Razak Mohd Ali
Mei 22, 2023 03:26 MYT
Suspek berusia 43 tahun itu mempunyai sejarah penyakit psikiatri dan sedang menerima rawatan di Klinik Pakar Psikiatri, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. - Gambar hiasan
IPOH: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki membuat ancaman bom palsu melalui e-mail di sebuah pusat membeli belah di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11.30 malam tadi di rumahnya di Kampar dan polis turut merampas sebuah alat komunikasi yang digunakannya.
Menurutnya, warga tempatan berusia 43 tahun itu mempunyai sejarah penyakit psikiatri dan sedang menerima rawatan di Klinik Pakar Psikiatri, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
“Ujian saringan awal air kencing turut dijalankan ke atas suspek dan mendapatinya tidak di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Yahaya berkata, terdahulu, kira-kira jam 4.57 petang Ahad, pihaknya menerima laporan polis daripada pengurus sebuah pusat membeli belah.
Laporan itu menyatakan, kira-kira jam 2.56 petang, pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut menerima e-mail daripada seorang individu yang tidak dikenali menyatakan terdapat ancaman bom di premis itu dan meminta mereka meningkatkan langkah-langkah keselamatan.
Menurutnya, Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh di bangunan itu dan mengesahkan maklumat tersebut adalah palsu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.
“Siasatan kes ini telah pun selesai dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” ujarnya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memberikan sebarang maklumat palsu yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
Katanya, sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keselamatan awam dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat hendaklah dielakkan.
#ancaman bom palsu #penyakit psikiatri #pusat membeli belah #kesalahan menakutkan secara jenayah