GUA MUSANG: Kira-kira 2,000 penduduk di Pos Bihai dan Pos Balar di sini merayu supaya kawalan keselamatan di kawasan tersebut ditingkatkan berikutan ancaman harimau sejak beberapa hari lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata maklum balas itu diterima hasil beberapa siri perjumpaan yang diadakan bersama penduduk di Tendrik, Bihai Lama dan Peyel bagi mendengar keluhan, kerisauan dan permintaan mereka.

"Sebelum ini, kami mengadakan kawalan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dengan memasang tiga perangkap, namun harimau yang berkeliaran tidak masuk ke dalam jerat itu.

"Disebabkan hal itu, selepas mesyuarat yang diadakan 4 Jan lepas keputusan telah dibuat dengan kaedah tangkapan perlu ditukar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

BACA: Lelaki maut dibaham harimau di Gua Musang

BACA: Harimau belang: Perhilitan kawal perkampungan Orang Asli Pos Bihai

Mengulas lanjut, Mohd Syahbuddin berkata buat sementara waktu beliau memohon sekiranya tiada keperluan, penduduk kampung tidak keluar dari rumah masing-masing terutama di kawasan harimau berkeliaran di Pos Bihai dan Pos Balar.

Mohd Syahbuddin berkata bagi tujuan keselamatan, Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai dan SK Balar juga ditutup bagi mengelak pelajar bertembung dengan harimau yang dipercayai masih berkeliaran di kawasan tersebut.

"Bagi membantu penduduk yang terkesan dengan situasi semasa, bantuan makanan telah dihulurkan sejak 16 Dis lepas apabila penduduk dipindahkan dari Kampung Remau ke Kampung Tendrik," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata pihaknya percaya harimau belang yang kini berkeliaran di kawasan penempatan Orang Asli di Pos Bihai kemungkinan dijangkiti Virus Canine Distemper (CDV).

Menurutnya, ia disebabkan hasil pemerhatian pasukannya yang menjejaki harimau belang berkenaan mendapati beberapa sampel najis mamalia itu positif virus berkenaan.

Beliau berkata bagaimanapun, tidak diketahui sama ada najis yang positif virus itu berasal daripada tiga ekor harimau belang yang sedang dijejaki atau daripada kumpulan harimau lain yang telah dijangkiti penyakit itu.

"Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) harimau itu kemungkinan terkena jangkitan daripada haiwan domestik seperti anjing dan kucing.

"Sekiranya dijangkiti virus itu, harimau akan berubah kelakuan termasuk tidak takut dengan manusia, bingung dan berubah sifat pemangsanya sehingga menjejaskan tahap kesihatan haiwan liar tersebut," katanya.

Mohamad Hafid berkata kes harimau di Pos Bihai itu kemungkinan sama seperti kes harimau belang yang pernah ditangkap oleh Jabatan Perhilitan Terengganu pada 2019.

"Pihak kami akan terus menjejaki harimau yang sakit itu untuk dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak," katanya.

-- BERNAMA