[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Ancaman LNG Bintulu: SMS daripada nombor telefon berdaftar di Indonesia - Fadillah

Bernama 09/09/2025 | 06:30 MYT
Fadillah berkata susulan ancaman yang diterima oleh seorang petugas PETRONAS di Bintulu itu, kerajaan telah meningkatkan kawalan keselamatan di fasiliti LNG di Sarawak dan Sabah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan ancaman terhadap fasiliti gas asli cecair (LNG) di Bintulu, Sarawak diterima melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada nombor telefon yang berdaftar di negara jiran, Indonesia.


Ringkasan AI
  • Ancaman diterima melalui SMS daripada nombor telefon berdaftar di Indonesia, melibatkan ugutan terhadap seorang petugas PETRONAS di Bintulu dan permintaan tertentu yang tidak dijawab.
  • Susulan ugutan tersebut, kerajaan meningkatkan kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG di Sarawak dan Sabah, dengan arahan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
  • Polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti individu terlibat, manakala orang ramai dinasihatkan agar tidak menimbulkan spekulasi dan menunggu maklumat rasmi daripada pihak berkuasa.


Beliau berkata susulan ancaman yang diterima oleh seorang petugas PETRONAS di Bintulu itu, kerajaan telah meningkatkan kawalan keselamatan di fasiliti LNG di Sarawak dan Sabah.

"Saya dimaklumkan bahawa ada yang menerima SMS ugutan dan ugutan itu datangnya daripada telefon yang menggunakan nombor berdaftar di Indonesia.

"Tapi siapa? (Itu) polis masih membuat siasatan, jadi sebagai langkah berjaga-jaga Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan (arahan) untuk meningkatkan kawalan keselamatan kerana kita tak tahu sama ada akan berlaku di LNG di Bintulu ataupun di Sabah, sebab (ugutan) hanya menyatakan mengenai LNG," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan di sini hari ini.

Fadillah berkata ancaman tersebut berkait permintaan tertentu daripada pengirim dan apabila tidak menerima maklum balas, individu tersebut mengugut untuk membakar kemudahan LNG negara.

"Dia minta menjawab sesuatu tapi sebab tak ada respons, dia mengugut untuk membakar LNG kita tapi tak tahu yang mana satu," katanya.

Semalam MKN dalam kenyataan memaklumkan kerajaan mengarahkan semua fasiliti LNG atau gas asli cecair di Bintulu, untuk memperketat kawalan keselamatan serta-merta susulan ancaman keselamatan terhadap fasiliti berkenaan.

Langkah itu bagi membolehkan pihak keselamatan dan agensi berkaitan melaksanakan siasatan segera terhadap ancaman itu.

"Orang ramai diingatkan tidak menimbulkan sebarang spekulasi terhadap kenyataan ini. Perkembangan mengenai situasi berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Awal hari ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG milik PETRONAS diperketatkan serta-merta susulan ugutan diterima seorang pegawainya di Bintulu.

Beliau berkata pegawai terbabit menerima ugutan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) daripada individu tidak dikenali sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu, PETRONAS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil serius mengenai perkara itu dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menilai serta menangani situasi tersebut.

"Buat masa ini, operasi kami tidak terjejas dan bekalan kami berjalan seperti biasa. Kami ingin memberi jaminan bahawa keselamatan dan kesejahteraan para pekerja, kontraktor serta komuniti sekitar kekal menjadi keutamaan tertinggi kami," kata kenyataan itu.



#Petronas #LNG Bintulu #ancaman keselamatan #Fadillah Yusof