MALAYSIA

Ancaman Nipah: Semua pelintas sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan disaring

Bernama 03/02/2026 | 01:50 MYT
Individu yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius akan menjalani pemeriksaan lanjut termasuk temu bual berkaitan sejarah perjalanan, gejala kesihatan serta penilaian risiko sebelum tindakan susulan diambil. - Foto BERNAMA
PASIR MAS: Saringan kesihatan termasuk imbasan suhu badan kini dilaksanakan terhadap semua individu yang memasuki Malaysia melalui pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan sebagai langkah pencegahan penularan Virus Nipah (NiV).

Langkah kawalan itu dilaksanakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor dengan penugasan petugas kesihatan secara syif bagi memastikan pemantauan dijalankan secara berterusan.

Tinjauan Bernama di ICQS Rantau Panjang baru-baru ini, mendapati semua individu sama ada warganegara Malaysia atau Thailand diwajibkan menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

Individu yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius akan menjalani pemeriksaan lanjut termasuk temu bual berkaitan sejarah perjalanan, gejala kesihatan serta penilaian risiko sebelum tindakan susulan diambil.

Seorang rakyat Malaysia, Nizam Samsuddin, 30, berkata dia memahami keperluan langkah saringan itu dan menyifatkannya sebagai usaha wajar bagi melindungi keselamatan kesihatan awam, khususnya di kawasan sempadan yang sibuk.

"Walaupun pemeriksaan ini mengambil sedikit masa, ia penting bagi mengesan sebarang risiko lebih awal dan memberikan keyakinan kepada orang ramai," katanya kepada Bernama selepas pulang menziarahi keluarganya di Yala, selatan Thailand.

Seorang warga Thailand, Apif Senik, 48, berkata dia menyokong penuh langkah pencegahan yang dilaksanakan pihak berkuasa kesihatan Malaysia.

"Pemeriksaan seperti ini amat penting bagi mengesan sebarang simptom lebih awal. Langkah berjaga-jaga ini perlu bagi mengelakkan penularan yang boleh memberikan kesan lebih serius," katanya yang berasal dari Pattani.

Sementara itu, Saleha Jemae, 40, dari Narathiwat berkata saringan kesihatan yang dilaksanakan merupakan tindakan pencegahan awal bagi melindungi kesihatan awam di kedua-dua negara.

"Pemeriksaan suhu badan dan saringan gejala kesihatan memberikan keyakinan kepada orang ramai bahawa keselamatan kesihatan diambil serius," katanya.

Pada Ahad lepas, Jabatan Kesihatan Kelantan melaksanakan saringan kesihatan di pintu masuk utama ke negeri ini sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan penularan virus NiV.

Pengarahnya Datuk Dr Mohd Azman Yacob dilapor berkata langkah berjaga-jaga itu dilaksanakan bagi mengesan sebarang risiko kemasukan kes virus berkenaan, khususnya melibatkan individu dari India.

Saringan dijalankan sejak seminggu lepas di Kompleks ICQS Rantau Panjang, Bukit Bunga di Tanah Merah serta Pengkalan Kubor di Tumpat.

-- BERNAMA






#virus Nipah #ICQS #saringan #langkah pencegahan