Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

ANCP: Perarakan, aset tentera laut kembali ke Pulau Pinang selepas 35 tahun

Bernama 17/08/2025 | 08:15 MYT
Orang ramai tidak melepaskan peluang menaiki kapal-kapal tentera laut ASEAN pada ASEAN Navies City Parade sempena Hari Buletin 4.0 di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) hari ini. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Selepas 35 tahun, Pulau Pinang kembali menjadi tumpuan dengan penganjuran ASEAN Navies' City Parade (ANCP) yang berlangsung meriah hari ini, di Padang Kota Lama bersama sambutan Hari Buletin 4.0 anjuran kerajaan negeri.


Ringkasan AI
  • Pulau Pinang menjadi tuan rumah ASEAN Navies City Parade (ANCP) selepas 35 tahun, melibatkan perarakan kontinjen dari 10 kapal tentera laut ASEAN serta demonstrasi ketenteraan laut di Padang Kota Lama.
  • Acara ini disertai oleh TLDM, pasukan kadet, veteran dan pelajar sekolah, dengan persembahan kawad senyap, flypast helikopter dan pancaragam, serta memperingati sejarah International Royal Fleet Review 1990.
  • ANCP diadakan serentak dengan ANCM, AMNEX dan ASEAN Fleet Review, sebagai simbol kesepakatan serantau menjelang Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, memperkukuh hubungan diplomatik dan tradisi maritim.


ANCP merupakan inisiatif Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi memperkenalkan serta mempromosikan tradisi ketenteraan laut kepada masyarakat umum, membabitkan perarakan kontinjen daripada 10 kapal tentera laut negara ASEAN.

Turut terlibat Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM Laut), Pasukan Simpanan Sukarela dan Persatuan Veteran TLDM, dengan acara menarik perhatian pengunjung yang mula hadir seawal 6.30 pagi, ialah demonstrasi bot tempur serta flypast (terbang lintas hormat) helikopter TLDM, persembahan kawad senyap dan pancaragam TLDM.

Sebanyak 301 peserta kontinjen kapal ASEAN dan 388 pelajar daripada 11 sekolah termasuk Penang Free School, SMK (P) St George, SMK Pekula Jaya serta SMK Bukit Jambul mengambil bahagian dalam perarakan dan persembahan pancaragam.

ang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada ASEAN Navies City Parade sempena Hari Buletin 4.0 di Padang Kota Lama hari ini. - Foto Bernama


Perarakan kontinjen melibatkan tiga kapal perang TLDM iaitu KD Kedah, KD Lekiu dan KD Lekir selain RSS Vigour (Singapura), KRI Bung Tomo (Indonesia), KDB Darulaman (Brunei), UMS King Sin Phyu Shin (Myanmar), HTMS Krabi (Thailand), VPNS Quang Trung (Vietnam) dan BRP Antonio Luna (Filipina).

ANCP diadakan serentak dengan beberapa acara penting serantau termasuk Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) ke-19, Eksesais Tentera Laut Multilateral ASEAN (AMNEX) ketiga dan ASEAN Fleet Review (AFR).

Penganjuran ANCP di Pulau Pinang juga mempunyai nilai sejarah tersendiri apabila mengimbau kenangan pelaksanaan International Royal Fleet Review (IRFR) pada 19 Mei 1990 yang melibatkan 59 kapal perang dan 11,000 warga tentera laut dari pelbagai negara.

Sebagai penghargaan kepada jasa veteran, 30 bekas anggota TLDM turut menyertai perarakan hari ini, diserikan dengan penyertaan Persatuan Peranakan Cina Pulau Pinang, Boria Omara dan Persatuan Chingay Pulau Pinang.

Terdahulu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan Utama diketuai Leftenan Kdr TLDM Mohd Amirul Abdullah Hanan dan Lt Abdul Hakim Mohd Sidek yang membawa panji-panji Skuadron ke-23 TLDM.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain, pimpinan kerajaan negeri, pengurusan tertinggi TLDM dan pegawai memerintah kapal-kapal terlibat.

Sementara itu, Panglima Wilayah Laut 3 Laksamana Pertama Mohd Norizal Fahrudin berkata secara tradisi, acara Navies City Parade merupakan perarakan rasmi melibatkan anggota serta aset tentera laut dari pelbagai negara dan biasa diadakan di kawasan bandar utama.

"Dalam meraikan mandat Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, ANCP juga menyaksikan kesepakatan negara serantau. Selain memperkukuh hubungan, ia juga menyambung legasi dan tradisi tentera laut," katanya.

-- BERNAMA



#SEAN Navies' City Parade #sambutan Hari Buletin 4 0 #Kerajaan Negeri Pulau Pinang #TLDM #Ramli Ngah Talib