Andalan 2024: Dua bilion pengundi di 50 negara bakal sertai pesta demokrasi

Firdaus Azil
Disember 21, 2023 11:27 MYT
Mengikut tinjauan Forum Ekonomi Dunia (WEF), impak geopolitik kini lebih besar sejak era Perang Dingin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tahun 2024 bakal menyaksikan rekod baharu tercatat, dengan lebih 50 negara bakal mengadakan pilihan raya umum masing-masing, melibatkan sekitar dua bilion pengundi.
Antara negara yang terbabit ialah Amerika Syarikat, Rusia, India, Indonesia, Afrika Selatan dan negara Kesatuan Eropah yang antaranya melibatkan Sepanyol, Jerman, dan United Kingdom.
Mengikut tinjauan Forum Ekonomi Dunia (WEF), impak geopolitik kini lebih besar sejak era Perang Dingin, khususnya dengan konflik Rusia-Ukraine, ketegangan China-Amerika Syarikat, serta serangan Israel ke atas Gaza, Palestin.
Menurut Penganalisis Politik Ekonomi dan Hubungan Antarabangsa, Herizal Hazri, sebarang perubahan tampuk kepimpinan di beberapa negara, sudah pasti mengubah polisi yang mungkin memberi impak kepada dunia.
“Apabila ada perubahan kerajaan, tentu sekali menjurus kepada perubahan polisi. Daripada segi kaca mata antarabangsa, perubahan polisi akan mengakibatkan polisi lama itu ditinggalkan terus atau ada kesinambungan. Namun begitu, walau segi mana pun kita harus faham sedikit perubahan polisi tentunya akan memberi impak di peringkat antarabangsa.
“Ini persoalan besar, tapi pokoknya di sini, kenapa saya rasa 2024 dan pilihan raya atau pemilihan dalam tahun 2024 itu penting. Siri pilihan raya penting kerana semua permasalahan berlaku hari ini, dan ada dua minggu lagi sampai penghujung 2023, ke mana arah 2024?
“... dan tambahan lagi kalau ada perubahan dalam tampuk kepimpinan kuasa besar, di mana ia. Adakah ia akan memburuk atau menjadi lebih baik,” katanya lagi.
Herizal berkata demikian sewaktu bersiaran bersama Agenda AWANI, bertajuk Andalan 2024: Tahun Pilihan Raya Dunia yang disiarkan pada Khamis malam.

#Andalan2024 Tahun depan bakal mencatatkan sejarah di mana paling banyak pilihan raya akan berlangsung di beberapa negara di seluruh dunia. Bagaimana keputusan pilihan raya itu mampu mencorak pentas politik antarabangsa? #AgendaAWANI jam 830 mlm ini di @501Awani pic.twitter.com/4dq6StbvIM

— AgendaAWANI (@AgendaAWANI) December 20, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara itu, pemerhati geopolitik antarabangsa turut menyenaraikan beberapa pilihan raya negara luar, yang menarik untuk diikuti, atau sama ada ia memberi impak terus kepada malaysia.
Antaranya, Pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang berlangsung sekitar September 2024, dan berkemungkinan besar menyaksikan pertembungan antara Joe Biden dan Donald Trump.
Atau sekiranya gandingan Ganjar Pranowo-Mahfud Md, Anies Baswedan-Muhaimin dapat membuat kejutan dan menewaskan gandingan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka dalam Pemilihan Presiden (PilPres) Indonesia yang bakal berlangsung Februari depan.
Di Afrika Selatan juga tidak kurang menariknya, kerana buat pertama kalinya gabungan parti yang memerintah negara tersebut sejak pengakhiran Zaman Apartheid (1994), The African National Congress (ANC), berkemungkinan gagal mempertahan kedudukan mereka.
#Andalan 2024 #pilihan raya umum #Dunia #Forum Ekonomi Dunia