KUALA LUMPUR: Jumlah penduduk lelaki di Malaysia pada tahun 2022 melebihi jumlah penduduk perempuan dengan 17 juta lelaki direkodkan berada di negara ini berbanding perempuan 15.7 juta orang.

Statistik Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2022 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan, nisbah jantina terkini adalah 109 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, bagi tempoh 2021-2022, nisbah jantina bagi warganegara dan bukan warganegara masing-masing kekal pada 103 dan 227 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Menurutnya, nisbah jantina yang tinggi bagi lelaki di Malaysia disumbangkan oleh lelaki bukan warganegara.

“Jumlah penduduk Malaysia pada 2022 dianggarkan 32.7 juta berbanding 32.6 juta pada 2021 dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 0.2 peratus.

“Penurunan kadar pertumbuhan penduduk ini disebabkan oleh bilangan penduduk bukan warganegara yang lebih rendah iaitu daripada 2.6 juta (2021) kepada 2.4 juta (2022).

“Ini adalah selari dengan sekatan perjalanan antarabangsa oleh negara semasa penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia pada tahun 2020 dan 2021,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah beliau, jumlah warganegara meningkat daripada 30 juta pada 2021 kepada 30.2 juta pada 2022 namun kadar pertumbuhan warganegara menurun daripada 0.8 peratus kepada 0.7 peratus bagi tempoh yang sama.

Katanya lagi, berdasarkan definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia telah menjadi negara menua dengan peratusan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 7 peratus ke 7.3 peratus pada 2022.

Komposisi penduduk berumur 0 hingga 14 tahun menurun kepada 23.2 peratus berbanding 23.6 peratus pada tahun lepas manakala komposisi penduduk berumur 15 hingga 64 tahun meningkat daripada 69.4 peratus pada 2021 kepada 69.5 peratus pada tahun ini.

“Daripada 30.2 juta penduduk warganegara, komposisi Bumiputera meningkat 0.3 mata peratus kepada 69.9 peratus pada 2022 berbanding 69.6 peratus pada 2021.

“Bagaimanapun, komposisi penduduk Cina dan India masing-masing menurun kepada 22.8 peratus (2021: 23.0 peratus) dan 6.6 peratus (2021: 6.7 peratus). Manakala etnik lain-lain masing-masing kekal pada 0.7 peratus,” ujarnya.

Secara purata, Malaysia mempunyai kepadatan penduduk 99 orang per satu kilometer persegi, dengan buat pertama kalinya, jumlah penduduk Melaka kini mencecah 1 juta orang.

Dari segi kepadatan penduduk, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai kepadatan penduduk tertinggi dengan 8,045 orang per satu kilometer persegi, diikuti Putrajaya dengan 2,418 penduduk dan Pulau Pinang iaitu 1,656 penduduk.

Manakala, Sarawak mempunyai kepadatan penduduk terendah dengan 20 orang per satu kilometer persegi, diikuti  Pahang dengan 45 orang dan Sabah, 46 orang.