Anggota FRU dan empat warga India didakwa perdagang wanita untuk eksploitasi seksual

Seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan empat warganegara India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memperdagangkan tujuh wanita bagi tujuan eksploitasi seksual secara paksa. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan empat warganegara India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan tujuh wanita bagi tujuan eksploitasi seksual secara paksa.
Koperal S.Kobinath, 34, bersama lelaki warga India, Mathan, 21, dan tiga wanita, Thanaletchumy, 57, Vasanthy Shanmukham, 44, dan Muniswary, 25, didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu ke atas mangsa yang juga warga India berusia antara 30 hingga 40 tahun di sebuah hotel di Jalan Ampang, Dang Wangi di sini pada 1 pagi, 30 Sept lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 15 tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Habibullah Mohammad Shah menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Kobinath, manakala empat lagi tertuduh tidak ditawarkan jaminan atas alasan mereka warganegara asing.Peguam P.Muniswer yang mewakili Kobinath memohon supaya jaminan dikurangan sekitar RM8,000 kerana anak guamnya menanggung ibu bapanya yang uzur.
Sementara itu, peguam R.M.Muniandy dan Erickka Farrise Amir, masing-masing mewakili Thanaletchumy dan Vasanthy memohon supaya jaminan dibenarkan terhadap kedua-dua tertuduh wanita itu.
Muniswary yang tidak diwakili peguam pula berkata dia hanya tinggal bersama rakannya di negara ini dan tidak mempunyai keluarga di sini.
Hakim Azura Alwi membenarkan Kobinath diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Thanaletchumy dan Vasanthy masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin, namun dua lagi tertuduh iaitu Mathan dan Muniswary tidak diberikan jaminan.
Mahkamah menetapkan 17 Nov ini untuk sebutan kes.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami