NATIONAL
Anggota FRU maut kemalangan: PDRM berduka, KPN akan pastikan kebajikan keluarga mangsa diberi perhatian
Seluruh warga Polis Diraja Malaysia bersedih atas insiden menyayat hati itu dan menghargai jasa serta pengorbanan semua anggota yang terlibat. - Gambar ihsan bomba
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, pagi tadi.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut bersedih atas insiden menyayat hati itu dan menghargai jasa serta pengorbanan semua anggota yang terlibat.
"Insiden ini berlaku selepas mereka selesai melaksanakan tugas yang diamanahkan. PDRM amat menghargai khidmat dan pengorbanan mereka.
"PDRM akan memastikan kebajikan keluarga kesemua anggota yang terkorban ini diberi perhatian sewajarnya," katanya pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, lapan anggota FRU dari Unit 5, Sungai Senam, Ipoh disahkan maut apabila trak dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan batu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon berkata, kemalangan membabitkan trak FRU yang membawa 18 anggota termasuk pemandu serta sebuah lori membawa muatan batu.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin mengesahkan semua anggota terlibat merupakan anggota FRU dari Unit 5, Sungai Senam, yang dalam perjalanan pulang selepas menjalankan tugasan rasmi.