NATIONAL

Anggota FRU maut kemalangan: “Tragedi ini menyentuh hati”- Fahmi

Afiezy Azaman 13/05/2025 | 04:35 MYT
Anggota pasukan keselamatan memindahkan mayat seorang mangsa anggota FRU yang maut dalam kemalangan tragis di Jalan Chikus, Sungai Lampam, Teluk Intan, pagi tadi. - Gambar ihsan Angkatan Pertahanan Malaysia
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga sembilan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Chikus, Sungai Lampam, Teluk Intan, pagi tadi.
Mewakili seluruh warga Kementerian Komunikasi, beliau menyifatkan insiden itu sebagai satu kehilangan besar kepada negara yang amat menghargai jasa serta pengorbanan anggota keselamatan.
“Pemergian sembilan anggota FRU dalam nahas tersebut merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga dan rakan seperjuangan, tetapi juga kepada negara.
“Anggota FRU adalah wira negara yang sentiasa bersedia berada di barisan hadapan demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Beliau turut mendoakan agar roh semua mangsa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, serta keluarga mereka diberikan kekuatan menghadapi detik sukar ini.
“Tragedi ini amat menyentuh hati dan memberi kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Saya juga berdoa agar semua anggota yang cedera dalam kejadian ini diberi kesembuhan segera dan dipermudahkan urusan rawatan mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan, Kementerian Komunikasi komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan media dalam menyampaikan maklumat sahih berhubung insiden itu.
Katanya, langkah itu penting bagi membendung penularan berita palsu yang boleh mengganggu sensitiviti keluarga mangsa dan menjejaskan siasatan.
“Kementerian Komunikasi bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan media dalam menyampaikan maklumat sahih serta menyekat penyebaran berita palsu berhubung insiden ini demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan,” jelasnya.
#kemalangan #anggota FRU maut #Jalan Chikus Sungai Lampam #Fahmi Fadzil