Ringkasan AI
- Anggota MALBATT dijangka mula pulang ke Malaysia pada Januari 2027 selepas mandat UNIFIL di Lubnan tamat hujung tahun ini.
- Pengunduran dilakukan secara berperingkat melalui beberapa penerbangan, manakala aset ketenteraan dibawa pulang menggunakan kapal bermula 17 Januari.
- Malaysia sedia pertimbang sertai pasukan pengaman baharu di Lubnan jika dimohon PBB, tertakluk kepada mandat badan dunia itu.
KOTA TINGGI: Semua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang kini bertugas di Lubnan dijangka mula dihantar pulang ke tanah air pada Januari 2027, susulan penamatan mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada akhir tahun ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata proses pengunduran anggota berkenaan akan dilakukan secara berperingkat menerusi beberapa penerbangan, disusuli dengan kepulangan aset ketenteraan menggunakan laluan laut bermula pada 17 Jan.
Beliau berkata semua batalion yang beroperasi di Lubnan dijadualkan menamatkan penugasan masing-masing pada akhir Disember ini selaras dengan berakhirnya mandat misi berkenaan.
"Anggota kita dijangka mula pulang pada Januari tahun depan melalui beberapa penerbangan, manakala aset ketenteraan Malaysia pula akan dibawa pulang menggunakan kapal bermula pada 17 Jan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu menyatakan kesediaan Malaysia untuk mempertimbangkan penyertaan dalam pasukan pengaman baharu di Lubnan sekiranya dimohon oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimanapun, beliau berkata kesediaan itu tertakluk pada keputusan PBB dan mandat yang diberi, memandangkan Malaysia tidak akan menyertai sebarang operasi ketenteraan yang tidak berada di bawah mandat badan dunia berkenaan.
"Sekiranya pihak PBB memutuskan untuk menubuhkan pasukan baharu atas apa jua nama sekalipun dan memerlukan penglibatan kita, Malaysia bersedia untuk menyertainya.
"Namun, hal ini tertakluk pada keputusan PBB. Kita tidak akan terlibat dalam sebarang operasi yang tidak berada di bawah mandat badan dunia berkenaan," katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata perkara itu turut disentuh dalam lawatan kerja beliau ke Lubnan baru-baru ini, termasuk menerusi perbincangan bersama dengan rakan sejawatnya yang memaklumkan situasi keselamatan di negara berkenaan masih bergolak dan terdedah kepada pelbagai ancaman.
Ketika ini, katanya, persidangan PBB sedang berlangsung dan sebahagian besar negara yang menyertai misi pengaman itu turut menyuarakan pandangan agar penamatan misi tersebut dikaji semula.
Menyingkap sejarah penglibatan negara di Lubnan, Mohamed Khaled berkata pembabitan tentera Malaysia bermula sejak 2007 dalam skala kecil sebelum PBB meluluskan penugasan bertaraf satu batalion penuh pada 2013.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Bilakah anggota MALBATT dijangka mula dihantar pulang ke Malaysia dari Lubnan?
A: Anggota MALBATT dijangka mula dihantar pulang ke Malaysia pada Januari 2027 selepas penamatan mandat UNIFIL pada akhir tahun ini. - Q: Bagaimanakah proses pengunduran anggota dan aset ketenteraan Malaysia dari Lubnan akan dilakukan?
A: Proses pengunduran anggota akan dilakukan secara berperingkat melalui beberapa penerbangan, manakala aset ketenteraan akan dibawa pulang menggunakan laluan laut bermula 17 Januari. - Q: Apakah syarat Malaysia untuk menyertai pasukan pengaman baharu di Lubnan?
A: Malaysia bersedia mempertimbangkan penyertaan jika dimohon oleh PBB, namun hanya akan terlibat jika operasi tersebut berada di bawah mandat PBB. - Q: Sejak bila tentera Malaysia terlibat dalam misi pengaman di Lubnan?
A: Penglibatan tentera Malaysia di Lubnan bermula sejak 2007 dalam skala kecil dan bertambah kepada satu batalion penuh pada 2013 selepas diluluskan PBB. - Q: Apakah pandangan negara-negara lain mengenai penamatan misi UNIFIL di Lubnan?
A: Sebahagian besar negara yang menyertai misi pengaman telah menyuarakan pandangan agar penamatan misi tersebut dikaji semula dalam persidangan PBB yang sedang berlangsung.