Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Anggota Maritim mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan rasuah

Astro Awani 21/11/2025 | 09:30 MYT
Muhamad Azizi didakwa meminta dan menerima suapan daripada Syarikat LGH Maju Trading melalui pindahan akaun seorang orang tengah. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Jenayah 1 Johor Bahru, di sini pada Jumaat.


Ringkasan AI
  • Anggota Maritim Malaysia mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Jenayah 1 Johor Bahru.
  • Tertuduh didakwa menerima suapan daripada Syarikat LGH Maju Trading untuk mengelakkan tindakan undang-undang terhadap bot-bot syarikat tersebut.
  • Tertuduh mengaku tidak bersalah dan perlu membayar jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sebelum tarikh sebutan kes seterusnya pada 22 Disember.


Tertuduh Laskar Kanan Maritim T4, Muhamad Azizi Kamali yang bertugas di Langkawi didakwa telah meminta dan menerima suapan daripada Syarikat LGH Maju Trading melalui pindahan akaun seorang orang tengah.

Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan supaya pihak Maritim Malaysia Langkawi tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap kesalahan yang dilakukan oleh bot-bot milik syarikat berkenaan.

Mengikut pertuduhan, perbuatan tersebut dilakukan sekitar tahun 2022 dan 2023 melibatkan sejumlah wang RM200 hingga RM700.

Muhammad Azizi bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah kesemua pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Shuhadah Mahzan.

Pihak pendakwa kemudiannya mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin warga negara Malaysia.

Hakim mengarahkan tertuduh membawar wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 22 Disember depan.



#Anggota Maritim Malaysia #Rasuah #Langkawi #SPRM