MALAYSIA

Anggota polis, bekas polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM20,000

Abd Razak Mohd Ali 22/05/2025 | 03:57 MYT
Dua anggota polis, seorang bekas polis mengaku tidak bersalah menerima rasuah RM20,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - Foto Astro AWANI
IPOH: Dua anggota polis dan seorang bekas polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM20,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, bekas Koperal Wan Mohd Nor Imran Wan Seman, 35 tahun, Lans Koperal Ahmad Rabani Rusnizal, 29 tahun, dan Lans Koperal Mohamad Shukre Mohamed Rowi, 37 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Wan Mohd Nor kini bekerja sebagai pemandu lori.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa bersama-sama sebagai ejen Kerajaan Malaysia iaitu Koperal dan Lans Koperal Polis yang bertugas di Unit Cawangan Pencegahan Jenayah, Balai Polis Merbok, dengan niat bersama telah secara rasuah memperoleh suapan wang, masing-masing sebanyak RM10,000, melalui pindahan wang daripada akaun bank milik seorang lelaki lain ke akaun bank milik Ahmad Rabani.

Ia sebagai suatu dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan kerana telah memiliki dadah jenis syabu yang merupakan kesalahan di bawah Akta Dadah Merbahaya 1952.

Mereka didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di sebuah bank di Kamunting, dalam Daerah Larut Matang dan Selama, kira-kira jam 3 pagi pada 24 dan 25 Julai 2023.

Kedua-dua pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Zulfadli Azharudin manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Siti Salwa Ja’afar.







#Rasuah #bekas polis #anggota polis #Mahkamah Sesyen Ipoh #Dadah