Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17 Lahad Datu yang bertugas menjaga Sekatan Jalanraya (SJR) cedera parah dilanggar seorang pemandu yang cuba lari dari satu sekatan di Jalan Muhibbah kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi.
Ketua Polis Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dipercayai baru pulang dari rumah kawannya yang tidak jauh dari SJR berkenaan.
"Sewaktu kejadian, suspek dipercayai memandu laju dan dalam keadaan mabuk, tiba di tempat kejadian, suspek tidak dapat mengawal kenderaanya lalu merempuh SJR dan menyeret seorang anggota polis yang bertugas kira-kira tujuh meter dari tempat kejadian.
"Akibat daripada itu, anggota berkenaan mengalami patah tangan kanan dan cedera di dahi kanan juga dan suspek juga telah melanggar dua lagi kenderaan lain milik petugas SJR," katanya yang ditemui media di SJR Jalan Muhibbah selepas melawat anggota polis yang sedang dirawat di hospital.
Jelas Nasri, suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamine dan amphetamine.

Pemeriksaan tubuh badan suspek turut menjumpai dadah dalam poket seluar suspek.
"Hasil soal siasat mendapati suspek turut tidak memiliki lesen memandu yang sah dan polis kini sedang giat mengesan rumah rakannya itu bagi mengetahui sekiranya terdapat aktiviti yang salah dijalankan," katanya lagi.
Menurut Nasri, kes akan disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga Seksyen 26(2) Akta Polis.