MALAYSIA

Anggota polis ditempatkan di setiap mahkamah pantau aktiviti 'ulat'

Bernama 07/12/2025 | 11:35 MYT
Langkah itu diambil susulan aduan yang diterima pada 22 Sept lepas yang mendakwa wujudnya aktiviti touting melibatkan peguam serta individu di kompleks mahkamah berkenaan.
KUALA LUMPUR: Penempatan anggota polis di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur akan dilaksanakan secara penggiliran bagi menangani aktiviti touting (ulat mahkamah) yang didakwa melibatkan peguam dan individu.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam surat edaran kepada media memaklumkan, langkah itu diputuskan dalam perbincangan bersama Polis Cawangan Mahkamah Kuala Lumpur pada 8 Okt lepas, bagi penempatan anggota polis pada setiap mahkamah di kompleks mahkamah berkenaan.

"Tindakan job rotation (pusingan kerja) ini akan dijalankan selang beberapa bulan bagi memastikan risiko salah guna kuasa dapat diatasi," menurut surat itu.

Langkah itu diambil susulan aduan yang diterima pada 22 Sept lepas yang mendakwa wujudnya aktiviti touting melibatkan peguam serta individu di kompleks mahkamah berkenaan.

Selain itu, tindakan mengehadkan dan mengetatkan kawalan serta akses orang awam di kawasan lokap mahkamah juga akan diambil, yang mana hanya peguam dan pihak Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Orang Kena Tuduh (OKT) sahaja akan dibenarkan untuk berjumpa dengan OKT di luar lokap tertakluk kepada kesesuaian keadaan semasa.

Tindakan pengawasan dan pemantauan juga akan dilakukan dari semasa ke semasa oleh pihak penyelia Mahkamah Kuala Lumpur untuk memastikan tiada petugas mahkamah yang terlibat dalam kegiatan seumpama itu.

"Sekiranya mana-mana pihak mempunyai aduan spesifik terhadap mana-mana petugas mahkamah, mohon perkara tersebut dikemukakan kepada pihak Mahkamah Kuala Lumpur untuk tindakan sewajarnya.

"Unit ini merakamkan jutaan terima kasih kerana membawa isu ini kepada perhatian pihak kami. Kami mengambil berat isu-isu yang dibangkitkan dalam surat tersebut dan tindakan sewajarnya akan diambil dari semasa ke semasa bagi menangani masalah ini," menurut surat itu.


INFO:


#ulat mahkamah #touting #Mahkamah Kuala Lumpur #larangan ulat mahkamah